Lagi kes kucing, anjing mati: Siswa UM bangkitkan isu keselamatan
Satu lagi laporan dibuat mengenai insiden kucing jalanan dibunuh di Universiti Malaya (UM).
Menurut kumpulan pelajar NewGen UM, kejadian keempat ini berlaku pada 7.15 petang semalam di Fakulti Sains Sukan, Pusat Sukan UM.
Kumpulan tersebut berkata mereka berulang kali membuat aduan dan laporan kepada pihak polis serta pengurusan UM sejak kes pertama bagi mendesak tindakan segera diambil untuk memastikan keselamatan semua makhluk hidup di kampus itu.
“Namun, sehingga kini, tiada sebarang perkembangan dalam siasatan atau tangkapan suspek, yang mendedahkan ketidakcekapan melampau dan sikap tidak peduli pihak polis dan pihak universiti dalam menangani insiden seperti ini,” kata kumpulan itu dalam kenyataan semalam.
Siasatan polis berdasarkan rakaman CCTV mendapati kematian beberapa ekor kucing di kampus berpunca daripada serangan sekumpulan anjing liar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kucing-kucing tersebut mati akibat kecederaan semasa serangan itu.
Bagaimanapun, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menolak dakwaan itu dengan menyatakan kecederaan pada kucing-kucing tersebut lebih konsisten dengan penggunaan objek tajam, yang menunjukkan kemungkinan penglibatan manusia.
Selain kucing jalanan, bangkai seekor anjing turut dilaporkan ditemui berhampiran kawasan kediaman kolej semalam, menurut laporan FMT.
NewGen UM melahirkan kebimbangan terhadap kekerapan kejadian seperti ini, yang dikatakan telah menyebabkan ketakutan meluas dalam kalangan pelajar.
“Jika kes-kes ini sememangnya tindakan zalim yang disengajakan, pelakunya jelas tidak mempunyai sifat asas kemanusiaan, sekali gus berpotensi menjadi ancaman bukan sahaja kepada kucing jalanan tetapi juga kepada keselamatan pelajar UM,” kata kumpulan itu.
NewGen UM turut menyuarakan kekecewaan terhadap apa yang mereka anggap sebagai ketidakpedulian daripada pihak polis dan pengurusan universiti.
“Setiap insiden adalah peringatan jelas bahawa kampus tidak seaman yang disangka. Jika pihak berkuasa terus mengabaikan perkara ini, mereka bukan sahaja menunjukkan sikap tidak peduli terhadap nyawa haiwan terbiar tetapi juga bertanggungjawab besar atas keselamatan komuniti UM,” tegasnya.
Kumpulan itu menuntut pihak polis segera menubuhkan satu pasukan khas bagi mempercepatkan siasatan, memberikan maklumat terkini secara berkala dan membawa pelaku ke muka pengadilan.
Mereka juga menyeru agar satu sesi perbincangan diadakan dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian bersama pemimpin pelajar, wakil masyarakat, dan organisasi kebajikan haiwan. – SM