Ekonomi

MITI peroleh RM3.3 bilion potensi eksport daripada misi ke Vietnam

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memperoleh potensi eksport berjumlah RM3.3 bilion hasil daripada Misi Perdagangan dan Pelaburan selama tiga hari ke Vietnam, meliputi Hanoi dan Ho Chi Minh City dari 8 hingga 10 Julai 2024.

Sebanyak 14 syarikat Vietnam komited untuk mendapatkan produk Malaysia, termasuk Elektrik & Elektronik (E&E), minyak sawit, bahan kimia dan petrokimia, besi dan keluli, makanan dan minuman, serta barangan pengguna.

Misi ini telah diketuai oleh menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz diiringi oleh pegawai kanan dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Komitmen eksport telah diperoleh daripada pelbagai Pemimpin Industri Vietnam semasa mesyuarat meja bulat serta mesyuarat empat mata antara syarikat Vietnam dan Menteri MITI di Ho Chi Minh City pada 10 Julai 2024. Hasil yang memberangsangkan ini – yang difasilitasi oleh MATRADE – mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Viet Nam, yang menonjolkan peluang bagi komuniti perniagaan antara kedua-dua negara.

Tengku Zafrul berkata, beliau gembira dengan potensi eksport RM3.3 bilion daripada misi ke Vietnam.

“Misi ini juga berfungsi sebagai pemangkin untuk mengembangkan dan memulakan perkongsian strategik antara entiti perniagaan Malaysia dan Vietnam, di samping mengukuhkan kerjasama dua hala antara dua negara.

“Perkara seterusnya adalah untuk memastikan tindakan susulan segera untuk merealisasikan komitmen ini dengan secepat mungkin bagi menyokong pertumbuhan KDNK dan peluang pekerjaan untuk rakyat kita,” katanya.

Misi itu  juga disusuli dengan agenda lawatan rasmi Menteri MITI dengan pegawai-pegawai utama negara tersebut termasuk Perdana Menteri Vietnam, H.E. Phạm Minh Chính; Menteri Perancangan & Pelaburan, H.E. Nguyen Chi Dzung dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan, H.E. Nguyen Hong Dien.

Mesyuarat juga diselaras oleh Misi Malaysia di Hanoi, yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Viet Nam, H.E.
Datuk Tan Yang Thai.

Tengku Zafrul dan H.E Nguyen Hong Dien turut bersama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Viet Nam edisi Keempat (JTC ke-4) di Hanoi pada 9 Julai 2024. Dilancarkan pada tahun 2009, JTC Malaysia-Vietnam berfungsi sebagai platform untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan bagi kedua-dua negara.

JTC ke-4 memberi tumpuan kepada beberapa penyampaian utama untuk memajukan hubungan ekonomi Malaysia-Viet Nam, termasuk kerjasama dalam Industri Halal, di mana Malaysia akan membantu Viet Nam mengenai standard Halal, penilaian pematuhan dan akreditasi.

Ia juga membincangkan kemungkinan  kerjasama dalam Ekonomi Hijau, seperti dalam sektor Kenderaan Elektrik (EV) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan rakan kongsi berpotensi dari sektor awam dan swasta Viet Nam; serta tenaga boleh diperbaharui, terutamanya tenaga angin luar pesisir dan darat.

MITI juga membincangkan topik Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025.

Vietnam menyatakan sokongan mereka kepada Malaysia dalam memacu usaha integrasi ekonomi ASEAN ke tahap yang lebih tinggi melalui Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan semasa tahun penganjuran Malaysia.

Pada tahun 2023, Vietnam merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-11 terbesar manakala Malaysia merupakan rakan dagang Vietnam yang ke-10 terbesar di seluruh dunia.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam adalah USD17.38 bilion (RM79.42 bilion) pada tahun 2023 merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, pertanian dan perkhidmatan. Viet Nam juga merupakan destinasi pelaburan penting bagi Malaysia, terutamanya dalam pembangunan hartanah, utiliti,
perkhidmatan kewangan dan pembuatan. Sehingga 2023, syarikat Malaysia melabur dalam 717 projek di Vietnam dengan nilai pelaburan sebanyak USD13.1 bilion. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button