MetMalaysia diarah kaji semula SOP penyebaran maklumat, amaran cuaca
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penyediaan dan penyebaran maklumat, nasihat atau amaran cuaca.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia supaya maklumat itu dapat dikeluarkan dengan lebih kerap apabila cuaca dijangka menjadi ekstrem.
Beliau berkata, pihak METMalaysia juga sudah diarah menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih berkesan supaya orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa sekali gus dapat mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kementerian mengambil maklum laporan media yang menyatakan METMalaysia tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang dikeluarkan lima hari terdahulu masih lagi efektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.