Merompak kerana isteri hendak bersalin anak kedua: Pemandu kontera dipenjara 3 tahun
SEORANG pemandu kontena yang didapati bersalah merompak seorang warga emas atas alasan terdesak mencari wang untuk menampung perbelanjaan isteri yang bakal melahirkan anak kedua dipenjarakan selama tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman tersebut selepas Yap Chin Boon, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 6 September lalu.
Emilia Kaswati: Mengapa kamu melakukan kesalahan ini, cuba bayangkan kalau orang yang dirompak itu adalah bapa kamu?
Chin Boon: Saya buat kerana terdesak isteri mahu bersalin. Saya buat bukan dengan sengaja, saya betul-betul insaf, saya mahu jumpa anak kedua yang baru dilahirkan, harap beri saya peluang sebab nak tunjuk contoh yang baik untuk anak-anak saya.
Chin Boon didakwa merompak antaranya sebuah kereta, dompet dan tiga kad bank milik pemandu perkhidmatan e-hailing, S. Marathamuthu, 68, bersenjatakan sebilah pisau di tepi Jalan Besar Kepong, Sentul, pada pukul 7.30 malam, 5 September lalu mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh mengambil kira mangsa adalah pemandu perkhidmatan e-hailing dan seorang warga emas manakala peguam Nicholas Cheoh yang mewakili tertuduh, memohon hukuman penjara minima.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, tertuduh menaiki kereta yang dipandu oleh mangsa, tiba- tiba meminta mangsa memberhentikan kenderaannya di tepi jalan dengan alasan emaknya menunggu di hadapan jalan lalu tertuduh mengacukan sebilah pisau ke perut mangsa serta mencekik lehernya dari arah belakang.
Berlaku pergelutan antara mereka dan mangsa telah menolak tangan tertuduh dan terus keluar dari keretanya dan tertuduh seterusnya membawa lari kereta itu dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian. – BERNAMA – SM