Mereka sedang membersihkan kolam
WARGA asing yang tular seolah-olah mereka sedang beriadah dalam kolam sebuah bangunan hotel terbiar di Johor Bahru rupa-rupanya adalah pekerja yang membersihkan kolam berkenaan.
Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang malakukan kerja-kerja membuang air kolam renang di hotel terbiar itu yang menjadi tempat pembiakan nyamuk dan jentik-jentik.
Katanya sepasukan Polis dari Unit Rondaan Sektor (URS) Balai Polis Central bersama cawangan (D9) Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS melakukan pemeriksaan di kawasan itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun adalah majikan serta 15 lelaki warga asing berumur lingkungan 22 hingga 43 tahun berapa di bangunan itu adalah pekerja buruh binaan kepada sebuah syarikat tempatan,” katanya.
Menurut Raub, semua pekerja itu mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan diri yang sah serta tidak menyalahi undang-undang.