Hiburan

Menyanyi kena ada RASA – Ramli Sarip

SETIAP lagu mempunyai temanya tersendiri dan ia akan sentiasa berubah mengikut persembahan yang akan dipersembahkan, kata penyanyi rock tersohor Datuk Ramli Sarip.

Beliau yang akan tampil dengan persembahan istimewa dalam majlis berbuka puasa RASA (Cinta Di Sebalik Musim) di Royale Chulan Kuala Lumpur, pada 24 April 2022 sudah pasti akan memberikan persembahan terbaik melalui lagu-lagu popular lama dan baharu dari album Rasa selama lebih satu setengah jam

Istimewanya program anjuran Mukmin Pay Sdn Bhd dengan Konsortium IRAMA berkenaan ada membuka tabung untuk penggiat seni dalam usaha membantu mereka yang berdepan dengan ujian seperti sakit dan sebagainya.

Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid berkata peminat yang membeli meja pada malam persembahan itu nanti secara tidak langsung menyumbang kepada tabung yang telah diwujudkan.

“Untuk hari ini kami akan memberi sumbangan kepada wakil Ali XPDC yang mengalami masalah jantung dan Dwan Olan yang diuji dengan serangan strok ringan.

“Sumbangan akan turut dihulurkan kepada beberapa pihak lain yang akan dikenal pasti selepas ini” katanya dalam sidang media tersebut, petang tadi.

Bantuan yang diserahkan kepada wakil Ali XPDC

Tambahnya, pihak mereka tidak mempunyai dana sendiri dan terpaksa berusaha untuk dapatkan dana selama tempoh dua tahun seperti tabung penggiat seni yang dijalankan, selepas tercetusnya idea untuk membantu artis lain yang terkesan dengan pandemik dalam usaha mengadakan program tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mukmin Pay Sdn Bhd, Mohd Yusni Ismail berkata peminat sudah pasti merindui penampilan Ramli selepas dua tahun tidak menonton persembahannya secara langsung akibat pandemik.

“Persembahan akan bermula selepas selesai terawih, kami percaya peminat yang hadir pasti terhibur dengan persembahannya.

“Tempat ini hanya boleh memuatkan 60 meja dan ia dibuka kepada konsep siapa cepat dia dapat” katanya.

Barisan penganjur program Berbuka Puasa Bersama Ramli Sarip

Dalam pada itu Ramli ketika ditemui pada sidang media turut berkongsi cerita disebalik penghasilan album Rasa yang dirakam ketika pandemik covid-19.

“ketika proses rakaman, ia berlaku sebenarnya kebetulan lagu itu adalah sedutan dari banjir besar, secara tidak langsung lagu ini ada menceritakan tentang apa yang berlaku sebenarnya, kita pun tidak tahu apa hikmah di sebalik musim” jelasnya yang memberitahu istimewanya album Rasa berkenaan.

Dalam penghasilan album ketika pandemik ini sudah pasti Ramli mempunyai cabaran dan halangannya yang tersendiri.

“Kita tidak mempunyai keterbukaan apabila membuat rakaman, sebab kita terikat dengan SOP yang kita perlu patuhi” katanya.

Tambahnya, sepanjang proses rakaman album Rasa ini, setiap bait lirik dan lagu banyak memberi emosi yang mendalam kepada beliau.

Persembahan salah satu lagu daripada album Rasa

“Bila saya rakam balik lagu Allayarham Sudirman Haji Arshad, lagu Ayah dan Ibu, kebetulan waktu itu, banyak teman-teman saya yang ibu dan ayah mereka kembali ke rahmatullah, teringat juga saya kepada ibu dan ayah saya.

“Termasuk lagu Srikandi Zaman yang mana menceritakan keagungan orang yang telah dipilih dan dianugerahkan syurga seperti Siti Khadijah, Siti Maryam, Siti Fatimah dan isteri Firaun, Asiah, mereka merupakan wanita agung yang dijamin syurga” katanya.

Justeru Ramli sempat mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada peminat-peminat dan orang ramai.

“Semoga Ramadan kali ini dapat disambut dengan penuh ketenangan, kedamaian dan penuh kesyukuran” ujarnya – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button