Menteri ambil positif kritikan sebutan MEWA
MENTERI Alam Sekitar dan Air, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil secara konteks positif kritikan pihak tertentu berhubung penggunaan singkatan baharu kementerian tersebut iaitu MEWA.
MEWA yang merupakan singkatan Bahasa Inggeris digunakan setelah Mesyuarat Kabinet bersetuju menjenamakan semula ditambah portfolio air setelah sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Alam Sekitar (KAS).
Namun, maklum beliau, pihaknya masih mengumpulkan maklumat dan menunggu daripada pelbagai pihak sebelum menetapkan penggunaan rasmi singkatan bagi kementerian baharu tersebut.
Beliau mengulas perkara tersebut ketika menjawab pertanyaan moderator dalam siaran langsung di rancangan Ruang Bicara BERNAMA TV membicarakan tajuk “Melestari Alam”.
“Cuma bila sebut isu MEWA tadi, bila kita ‘translate’ dalam Bahasa Inggeris. Dia sebenarnya bahasa ini dia ada laras dia. Tak bolehlah kita ambil istilah Bahasa Inggeris, kita ‘check’ kamus Dewan Bahasa Melayu. Ini larilah, dia lari (laras sebutannya).
“Laras bahasa ini tak boleh kita ambil bahasa lain, kita ‘translate’ dalam bahasa kita. Dia akan jadi ubah. Contohnya macam ‘nasi’ ya. Kita orang Melayu sebut makan ‘nasi’. Bila disebut ‘nasi’, kita tahu.
“Tapi kalau dalam bahasa Arab, ‘nasi’ makna ‘lupa’. Jadi tak bolehlah kita ambil nasi, kita terjemah dalam Bahasa Arab. Sebab larasnya, laras Bahasa Melayu. Jadi kita kena tengok dalam laras mana bahasa itu. Saya fikir bab ini semua bahasa begitu.
“Mungkin MEWA dalam Bahasa Cina mungkin makna lain, mungkin MEWA dalam Bahasa Arab mungkin makna lain. Dalam Bahasa Belanda juga makna (lain). Jadi kalau Bahasa Inggeris, larasnya kita kena tengok laras Bahasa Inggerislah,” jelasnya.
Akuinya, beliau menyambut baik semua pandangan-pandangan ini tersebut untuk diperbaiki dan percaya semua pihak nampak gembira untuk mengambil bahagian dalam memberi kritik dan aduan.
Beliau juga menjelaskan bahawa amat penting alam sekitar dan air disekalikan sebagaimana juga Allah S.W.T apabila berbicara mengenai alam turut mengaitkan sumber air sebagai sebahagiannya.
Menurutnya, kedua-dua komponen tersebut yang dahulunya merupakan hanya jabatan, kini diintegrasikan sebagai sebuah kementerian ke arah membawa agenda besar iaitu melestarikan alam.
“Jadi kalau kita bicarakan soal alam sekitar, benda hidup, sungai ini bila dia hidup, dia akan hidup semua. Udaranya, suasananya, pokoknya, kehijauannya dan sebagainya. Sebab itu kalau kita bicarakan soal alam sekitar, kita kena balik kepada apa yang Pencipta alam ini sebut.
“Dan itu menarik untuk kita tengok. Sebab bila Allah Taala sebut tentang sumber, maka sumber itu kita masuk sekarang ini, alam sekitar, dan air,” ujarnya memetik ayat 30 surah al-Anbiya’.