Rencana

Mengapa pilih sengketa?

APABILA Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya yang lalu ramai yang terkejut termasuk pemimpin Pakatan Harapan sendiri yang tidak menyangka mereka akhirnya menduduki Putrajaya.

Kegelojohan mereka menyebabkan mereka akhirnya disingkirkan daripada tampuk pemerintahan dan kini kembali ke tangan UMNO melalui BN yang berkongsi kuasa dengan Bersatu dan Pas serta beberapa parti lain membentuk Perikatan Nasional (PN).

Tumbangnya kerajaan BN menyaksikan para pemimpin utama UMNO berdepan dengan pelbagai tuduhan jenayah dan salah guna kuasa. Pemimpin yang selamat ialah mereka yang meninggalkan UMNO atau setidak-tidak lebih bersahabat dengan kerajaan.

Memang pedih dan sakit hati ketika melalui fasa berkenaan. Dendam membara tidak kunjung padam walaupun kini UMNO kembali berkuasa, walaupun tidak sepenuhnya tetapi kesemua kementerian utama dipegang oleh para pemimpin UMNO di dalam Perikatan Nasional.

Apa jua cakap-cakap politik hakikat yang tidak boleh disepelekan ialah pemimpin yang melompat ke parti lain serta pemimpin UMNO yang lebih bersahabat dengan kerajaan inilah yang memberi nyawa kembali kepada parti terbesar orang Melayu itu.

Namun ketika ini UMNO dikuasai oleh sebahagian besar oleh pemimpin yang tidak bersahabat dengan parti yang membantu mereka kembali bernyawa iaitu Pas dan Bersatu.

Amarah dan dendam ini menjadi penghalang kepada pemikiran yang lebih jelas iaitu formula mudah untuk parti itu terus berkuasa dan memberi manfaat kepada rakyat negara ini ialah dengan bersatu padu bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Jika selama ini UMNO menuduh Pas sebagai parti yang membawa kepada perpecahan Melayu, tetapi mereka kini menjadi pelopor kepada perpecahan Melayu.

Ia mungkin berpunca daripada beberapa pemimpin utama yang memegang falsafah politik penjajah iaitu pecah dan perintah. Bukan pepatah Melayu, Bersatu Teguh, Bercerai Roboh.

Para pemimpin ini dilihat telah menutup pintu rundingan bagi menyatukan orang Melayu yang menjadi tonggak kekuatan dan kestabilan negara ini kerana bangsa ini adalah majoriti penduduk yang mendiami bumi Malaysia.

UMNO terlalu yakin dan bertegas untuk bertanding solo, walaupun sedar mereka tidak mungkin menang dengan sokongan 3 juta ahlinya, kerana penduduk negara ini berjumlah 33 juta orang.

Perkiraan mudah baki 30 juta lagi jika mereka memberi sokongan kepada Pakatan Harapan yang berusaha membentuk khemah besar bagi menggabungkan kembali pembangkang, UMNO akan sekali lagi berada pada kedudukan yang mereka tidak ingini iaitu  menjadi pembangkang.

Pemimpin UMNO tidak biasa menjadi pembangkang, tetapi pada masa yang sama mereka mudah mabuk apabila diberi kuasa.

Jumlah mereka yang berfikiran waras semakin berkurangan di dalam UMNO, majoriti kini ibarat zombine yang bukan sahaja menyerang sesama sendiri, tetapi siapa sahaja yang dilihat berlainan ideologi walaupun sedikit. Lagi garang dan ganas mereka akan dianggap wira.

Menjelang pilihan raya ini, semua orang mahu ditendang apatah lagi selepas menang dua pilihan raya negeri iaitu di Melaka dan Johor.

Mungkin mereka ini perlu dinginkan kepala dan melayan lagu Elvis Presley, Can’t Help Falling in Love.

Antaranya kata bijak pandai hanya mereka yang bodoh bertindak terburu-buru.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button