Acara

Menara KL tawar diskaun 60% sempena kemerdekaan

ISTIMEWA buat seluruh rakyat Malaysia termasuk pelancong antarabangsa, Menara Kuala Lumpur (KL) akan mengadakan Kempen ‘Merdeka Madness’ dengan menawarkan diskaun sebanyak 60 peratus bagi tiket ke semua tempat tarikan.

Kempen tersebut diadakan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 yang akan berlangsung selama 47 hari bermula 1 Ogos hingga 16 September ini.

Antara tiket yang ditawarkan lawatan ke Sky Deck sebanyak RM28 bagi dewasa, RM15 (kanak-kanak); Observation Deck (RM12 dewasa) (RM8 kanak-kanak) dan Tower Walk 100 (RM8 dewasa) (RM6 kanak-kanak).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata kempen tersebut bukan sekadar sambutan, tetapi lambang semangat inovasi dalam industri pelancongan negara kita.

“Keunikan Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda ikonik negara, ditambah dengan pakej dan aktiviti menarik seperti Kempen Merdeka Madness ini, membuka peluang baharu kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman pelancongan yang lebih bermakna.

“Ia bukan sekadar lawatan, tetapi perjalanan menerokai warisan dan kemodenan Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Merdeka Madness, di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Jelas Khairul Firdaus, keunikan Menara KL mampu memberi pengalaman yang tiada ganti buat pengunjung yang hadir.

“Keunikan Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda ikonik negara, ditambah dengan pakej dan aktiviti menarik seperti Kempen Merdeka Madness ini, membuka peluang baharu kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman pelancongan yang lebih bermakna.

Ia bukan sekadar lawatan, tetapi perjalanan menerokai warisan dan kemodenan Malaysia, ” ujarnya.

Tambah beliau, tahun lepas menyaksikan kejayaan luar biasa Kempen Merdeka Madness yang menerima sambutan menggalakkan.

“Sambutan yang diterima bukan sahaja menggalakkan, malah ia telah menjadi bukti kukuh bahawa Malaysia, dengan keunikan budaya dan tarikan pelancongannya, semakin menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Pada tahun 2023, jumlah pelawat domestik meningkat sebanyak 22.9 peratus mencapai 210.9 juta pelawat.

“Ini menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam minat terhadap destinasi pelancongan tempatan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad berkata inisiatif Kempen Merdeka Madness ini diadakan sekali lagi, setelah lebih 200,000 pengunjung yang hadir pada tahun lepas.

“Selepas promosi Merdeka Madness berakhir tahun lalu, jumlah pelancong tempatan juga meningkat sebanyak 40 peratus.

“Peningkatan ini jelas menunjukkan keberkesanan promosi tersebut dalam menarik minat rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara terutamanya ke Menara Kuala Lumpur yang merupakan sebuah menara ikonik di dunia,” katanya.

Tambahnya, antara aktiviti yang akan diadakan seperti pencahayaan menara ‘Colours of Malaysia Tower Lighting’.

Katanya, aktiviti itu akan mewarnai keseluruhan menara dengan pencahayaan warna bendera 14 negeri di Malaysia.

“Aktiviti lain turut akan diadakan Sayembara Puisi Kemerdekaan, Pertandingan Fotografi Kemerdekaan, jualan trak makanan dan minuman, persembahan muzik dan kebudayaan, Festival Durian dan banyak lagi,” jelasnya.

Kredit – WILAYAHKU

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button