Nasionalpilihan

Melaka tidak rombak barisan Exco – Sulaiman Md. Ali

Tiada rombakan Exco kerajaan negeri akan dibuat susulan ada calon yang tewas pada pemilihan UMNO Bahagian Sabtu lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, semua barisan Exco yang dilantik sewaktu Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November 2021 kekal dengan portfolio masing-masing.

“Kenapa nak rombak yang ada ini buatlah kerja seperti biasa kecuali prestasi yang teruk, kita perlu rombak.

“Setakat ini barisan Exco tidak ada apa masalah. Mereka buatlah kerja seperti biasa mengikut portfolio yang diberi dan buat masa ini saya tidak nampak perlu ada rombakan,” katanya selepas meninjau projek naik taraf Kompleks Kolam Air Panas Gadek, Alor Gajah, Melaka di sini hari ini.

Pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin Sabtu lalu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan tewas dalam perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian yang dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Turut tewas penyandang yang juga bekas ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.

Bagi Bahagian Tangga Batu menyaksikan ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dipilih sebagai Ketua Bahagian yang baharu selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Turut gagal dalam saingan merebut jawatan Ketua Bahagian adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman yang tewas kepada bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu yang juga ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan.

Tiga Ketua UMNO bahagian di negeri ini masing-masing mengekalkan jawatan adalah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Masjid Tanah), Datuk Abd Razak Abd Rahman (Kota Melaka) dan Datuk Mohd Ridhwan Mohd
Ali (Hang Tuah Jaya) yang masing-masing menang tanpa bertanding. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button