Nasionalpilihan

Murid SK Krubong teruja disambut Mickey Mouse

Hari pertama sesi persekolahan 1,400 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong, Melaka di sini hari ini diceriakan dengan kemunculan maskot Walt Disney, Mickey Mouse.

Kehadiran karakter kegemaran ramai itu turut mencuit hati ibu bapa yang hadir menghantar anak masing-masing pada hari pertama sesi akademik 2023/2024 yang bermula hari ini.

Lebih menarik perhatian pintu pagar utama sekolah itu pula dihiasi dengan dekorasi bunga ala majlis perkahwinan bagi menyambut murid-murid.

Kehadiran maskot Mickey itu jelas mencuri perhatian apabila ibu bapa dan anak masing-masing mengambil kesempatan berswafoto dan bergambar.

Seawal pukul 6.30 pagi, murid-murid tiba di sekolah tersebut dengan dihantar ibu bapa dan penjaga masing-masing serta dikejutkan dengan kehadiran maskot Walt Disney.

Bagi murid tahun satu juga dilihat ceria dengan berpakaian kemas tanpa sebarang adegan tangisan mahupun tarik menarik untuk mengikut ibu bapa pulang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, seramai 141,089 murid mendaftar di 316 sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh Melaka.

Menurutnya, jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk 5,290 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di prasekolah Kementerian Pendidikan.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,749 murid memasuki Tahun Satu di 170 sekolah rendah di seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di SK Krubong di sini, pagi tadi. – SM

(Visited 276 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button