Nasional

Melaka sasar pelaburan RM500 juta di Expo Dubai 2020

MELAKA 16 Februari – Expo Dubai 2020 menjadi sasaran kerajaan negeri untuk menarik pelaburan sebanyak RM500 juta sepanjang tempoh menyertai expo ketiga terbesar dunia itu daripada 13 hingga 19 Mac ini.

Sasaran tersebut berdasarkan lima memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani, lapan forum dan sebanyak 30 padanan perniagaan akan diadakan sepanjang seminggu penyertaan menerusi Minggu Melaka
bertemakan Memperkasa Kemampanan di Expo tersebut.

Ketua Menteri, Sulaiman Md. Ali berkata, sasaran itu mampu dicapai melalui pelbagai program pengisian Minggu Melaka itu berlangsung di Dubai nanti.

Menurutnya, selain itu satu perbincangan dan lawatan ke atas beberapa syarikat terkemuka UAE akan diadakan seperti Sharjah Research Technology dan Innovation Park, Dubai Global Village Management.

“Melaka dipilih oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk menyertai Expo Dubai 2020 ini bagi minggu terakhir dan ini adalah peluang untuk kita dapat mempamerkan serta menarik minat pelabur- pelabur datang ke Melaka.

“Sasaran pelaburan sebanyak RM500 juta adalah realistik berdasarkan pelbagai pengisian program selama seminggu expo ini diadakan,” ujarnya sempena pra-pelancaran Melaka Week@Expo Dubai 2020 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sulaiman berkata, sebanyak 11 agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) akan menyertai delegasi Melaka ke expo tersebut seperti Invest Melaka, MIDA, Perbadanan Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ), Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Tourism Melaka.

Katanya, turut serta ialah Badan Kawal Selia Air (BKSA), Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Perbadanan Bioteknologi Melaka, Kumpulan Melaka Berhad, Jabatan Pertanian Melaka dan Melaka ICT Holdings Sdn Bhd.

Selain itu katanya, 16 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut serta ke expo tersebut antaranya Cahaya Gemilang Marketing, Asas Matahari, Nuha Food Sdn. Bhd., Al Taj Food Marketing Sdn. Bhd., Forest Town Honeybee, NRB Food Industries, O Seeker Food Sdn. Bhd. dan KS Industrial Tools Sdn. Bhd. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button