Ekonomi

Melaka perlu bina sebuah marina

MELAKA 14 Februari. – Sebuah marina serba moden akan dibina di Melaka setanding dengan yang wujud di Langkawi dalam usaha menjadikannya sebagai destinasi baharu pemilik kapal layar dari seluruh dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, bagi tujuan tersebut beliau mempelawa mana-mana syarikat untuk datang ke negeri ini bagi melihat lokasi yang sesuai bagi tujuan pembinaan marina tersebut.

Menurutnya, Melaka amat sesuai untuk pembinaan marina tersebut kerana mempunyai pesisir pantai dan sesuai
diwujudkan selain menjadikan ia sebagai salah satu produk pelancongan baharu dalam kalangan pemilik kapal layar dari seluruh dunia.

“Kita ada marina di Muara Sungai Melaka tetapi ia terlalu kecil dan tidak sesuai untuk kapal layar berlabuh.

“Justeru, saya melihat Melaka perlu ada sebuah marina baharu sehebat yang wujud di Langkawi. Kita boleh lihat banyak kapal layar berlabuh di situ yang kebanyakkan pemiliknya datang dari setiap pelosok dunia.

“Syarikat-syarikat swasta perlu datang ke Melaka untuk meneroka lokasi-lokasi yang sesuai untuk dijadikan sebuah marina,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kilang Explorer Composite Sdn. Bhd. di Pulau Gadong di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong; Ketua Pegawai
Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seafarer Explorer, Mike Thein.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri tidak boleh menetapkan lokasi untuk dijadikan marina kerana syarikat-syarikat berpengalaman lebih arif untuk menilai dalam aspek kedalaman laut dan laluan sebelum menentukan tempat yang sesuai.

Mengenai pantai di Klebang untuk pembinaan marina tersebut beliau berkata, satu kajian terperinci perlu dilakukan untuk memastikan ia sesuai atau pun tidak untuk tujuan pembinaan yang dirancang kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau turut memuji usaha anak kelahiran Melaka berjaya membina sebuah kilang membina bot fiberglass yang sudah dikenali di seluruh negara.

“Kumpulan Seafarer Explorer cukup terkenal dalam pembuatan bot fiberglass dan sudah tiba masanya kilang ini perlu diperbesarkan dan berpindah ke lokasi lain di pesisiran pantai,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button