Media wajar perhebat hubungan G2G, B2B, P2P
MEDIA wajar memainkan peranannya dalam memperhebatkan lagi hubungan di antara sesebuah kerajaan dengan kerajaan (G2G), ’business-to-business’ (B2B) dan juga ’people-to-people’ (P2P) khususnya seperti Thailand dan Malaysia, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda juga bertitah agar pengamal media melaporkan perkara-perkara yang positif, membina dan mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala negara ini.
“Agensi media utama Thailand dan Malaysia perlu bekerjasama dengan akrab serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala dua negara ini demi kepentingan bersama terutama sekali dalam sektor keselamatan, ekonomi, pelancongan dan lain-lain lagi”, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, semaikanlah rasa hormat antara satu sama lain, saling memahami dan bertolak ansur serta semangat kekitaan, bantu membantu dalam kalangan kedua-dua negara menerusi karya penulisan masing-masing. Meskipun berbeza bahasa, namun ia bukanlah penghalang.
Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Hari Media dan Pelancongan Malaysia – Selatan Thailand 2024’ di Hotel Yannathy, Hat Yai, Thailand.
Hari media ini merupakan inisiatif Persatuan Media Selatan Thailand bersama-sama Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand – Asia Tenggara (TAHTA) dan Sekretariat Kebangkitan Nusantara Sejahtera (SKNS) yang bertujuan untuk ‘cross-promotion’ sektor pelancongan Malaysia dan Thailand.
Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pertukaran Nota Persefahaman (NoU) antara PWP dengan Persatuan Media Selatan Thailand pada majlis itu.
Persatuan Wartawan Perlis diwakili Presidennya Syed Muhammad Azlan Sayid Hizar manakala Persatuan Media Selatan Thailand diwakili Presidennya Chaiyong Maneerungsakun.
Baginda turut menzahirkan agar hubungan baik antara Thailand dan Malaysia yang telah terjalin sekian lama ini akan berkekalan dan dengan bantuan pihak media serta lebih banyak lagi kolaborasi pada masa akan datang khususnya dalam sektor ekonomi mahupun pelancongan antara Wilayah Selatan Thailand dan Negeri Perlis. – SM