Nasional

Media diingatkan beri laporan tepat, tak sensasikan situasi

PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi meminta kerjasama agensi media untuk melaporkan berita yang tepat serta tidak mensensasikan berita sehingga boleh menimbulkan keresahan orang ramai.

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata kerajaan tidak pernah menafikan peranan penting media membuat laporan kerana ia adalah sumber untuk mendapatkan situasi terkini, namun terdapat beberapa laporan berita yang telah disensasikan secara berlebihan.

“Walaupun ada elemen kebenaran sebahagiannya (laporan) tetapi mungkin terlebih gula dan garamnya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi hari ini, dan mesyuarat turut meneliti kesahihan beberapa laporan media.

“Jadi saya minta mestilah kita memberi laporan seberapa tepat yang boleh kerana tidak mahu memberi gambaran yang salah kerana ini semua ada kaitan dengan soal kenaikan harga, pembelian panik dan membantu dalam usaha kita mengawal impak daripada inflasi dan kenaikan harga harga,” tambah Annuar.

Menurut Annuar, antara laporan media yang diteliti adalah dakwaan ramai akan muflis atas sebab-sebab tertentu, namun semakan dengan Kementerian Kewangan menunjukkan trend kemuflisan dalam negara yang dahulunya meningkat, sedang dalam trend penurunan sekalis gus menangkis maklumat kurang tepat yang dilaporkan.

Related Articles

Mengenai laporan berhubung kualiti hidangan makanan di sekolah dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT), menurutnya semakan gambar yang digunakan sebenarnya bukan di bawah skim berkenaan.

Berhubung pelaporan tentang berpuluh ribu klinik ditutup kerana tiada bekalan ubat, Annuar berkata semakan mendapati angka itu tidak tepat dan telah disensasikan, dan laporan Kementerian Kesihatan menunjukkan kekurangan bekalan ubat berlaku terhadap “satu, dua jenis ubat-ubatan sahaja” dan tidak menyebabkan beribu-ribu klinik akan ditutup.

“Satu laporan itu walaupun dilihat biasa tetapi ia boleh memberi kesan jika laporan itu tidak tepat kerana ia akan mengundang masalah kekurangan bekalan barangan tertentu atau menggalakkan orang menyorok barangan yang tertentu,” katanya.

Annuar berkata, soal komunikasi pemberitaan yang benar mempunyai peranan besar untuk membantu pasukan khas itu dalam menangani isu inflasi.

“Kita pohon kerjasama media membuat pelaporan seberapa tepat yang boleh dan jika ada angka atau data yang diragui elok merujuk dan diselidik lanjut dengan pihak berkuasa supaya rakyat mendapat berita tepat tentang satu keadaan,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button