Berita

MEC, MTDC bekerjasama bantu persiap PKS ke arah teknologi digital

Datuk Wan Suraya Mohd Radzi

BANGI, 9 Dis — Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) untuk membantu mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam perniagaan.

Ketua Setiausaha MED Datuk Wan Suraya Wan Md Radi berkata di bawah Program Pemecut Industri 4.0 MED-MTDC sebanyak 100 syarikat mikro dan PKS bumiputera diberi pendedahan dengan teknologi Industri 4.0 (I4.0) dalam perniagaan melalui penyediaan teknologi dan pementoran.

Menurutnya, program yang dilaksanakan dalam tiga fasa dan berakhir pada Februari tahun depan itu menyasarkan 50 PKS mencapai standard I4.0, iaitu penggunaan automasi dan teknologi yang akan menjadikan mereka lebih berdaya saing mendepani cabaran pasaran ekonomi.

“Adaptasi PKS ke atas teknologi I4.0 akan meningkatkan keupayaan syarikat dalam mendepani cabaran pasaran global tidak kira di pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program tersebut, di sini, hari ini.

“PKS tempatan kini tidak boleh hanya memfokuskan kepada pemasaran dan pengeluaran bagi pasaran tempatan semata-mata tetapi perlu memastikan produk serta perkhidmatan mampu menembusi pasaran global,” kata Wan Suraya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus pula berkata pihaknya turut membawakan usahawan yang telah mencapai standard I4.0 bagi berkongsi pengetahuan dengan PKS yang terlibat seterusnya mengenal pasti potensi sedia ada untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi.

Melalui program itu juga, katanya, MTDC akan menyediakan tenaga pakar penyedia solusi industri 4.0 tempatan untuk membantu mengembangkan potensi PKS bagi mempercepatkan pencapaian sasaran pengkomersialan mereka.

“Kita perlu bangunkan usahawan tempatan dalam bidang I4.0 sendiri agar tidak terus bergantung dengan teknologi yang dibawa daripada luar negara,” kata Norhalim.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button