Berita

Bomoh marahkan Maza

Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin menafikan menengking seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang bomoh, sebaliknya beliau hanya menegur tentang amalan bomoh yang karut-marut.

Berikut kenyataan Asri:

Saya dimaklumkan seorang bomoh yang memasuki Perlis yang menamakan facebook beliau SI KUCING membuat status FB tidak puas hati dengan layanan saya terhadap beliau. Ceritanya seakan saya tidak menerima pendapat beliau dan memarahi amalan bomoh beliau. Beliau juga mengambil gambar berbual dengan saya di tepi jalan dan menyiarkannya. Maka terpaksa saya jelaskan di sini secara terbuka juga. Berikut beberapa perkara yang ingin saya jelaskan;

1. Beliau bertemu dengan saya di tepi jalan di Kuala Perlis pada Jumaat lepas. Pada awalnya saya telah merasa janggal dengan penampilan pakaian dan bahasanya. Dia berikan kad perniagaan kepada saya. Dalam kad beliau ditulis SEDUT MARIFAT CARA ISLAM. Barangkali beliau nak maksudkan ma’rifat atau dieja dengan makrifat. Apapun, perkataan yang digunakan itu sangat janggal dan ada unsur karut apabila dikaitkan dengan ‘Cara Islam’. Beliau memberitahu beliau mengubat ‘semua penyakit’.

2. Sebenarnya, saya tidak menengking beliau atau berbahasa kasar. Saya hanya ingatkan beliau bahawa mana-mana amalan bomoh yang karut marut serta sesat tidak dibenarkan di Perlis. Saya juga ingatkan jangan suka berbohong dan membuat cerita palsu. Sebenarnya, pengalaman kita apabila berjumpa ramai orang yang bermacam-macam ragam kadang-kala membolehkan kita mencium bau kekarutan seseorang menerusi bahasa yang digunakan atau gaya penampilan yang ditunjukkan. Saya ingatkan hal itu kepada beliau apabila saya rasa beliau dalam keadaan pelik dan ganjil.

3. Beliau memberitahu saya di Perlis orang sudah tidak membesarkan ALLAH dan berselawat kepada Nabi s.a.w. Saya tanya beliau solat Jumaat di mana. Beliau memberitahu di Masjid Terapung Kuala Perlis. Dia memberitahu saya khatib tidak memuji ALLAH dan berselawat kepada Nabi s.a.w. Khatib katanya mulakan khutbah dengan “saudara saudara sekelian”. Saya ingatkan beliau jangan buat cerita bohong. Khatib baca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Mufti. Dalamnya ada mukaddimah khutbah خطبة الحاجة. Saya beritahu beliau, jika benar cerita saudara, sebelum saudara cakap, jamaah akan mengadu terlebih dahulu. Namun untuk kepastian, masa itu juga saya terus telepon Imam Masjid Terapung Ustaz Najdi. Beliau memberitahu beliau baca khutbah seperti yang tertulis dan memulakan khutbah dengan mukaddimah khutbah seperti biasa.

4. Bomoh itu memberitahu anak-anak muda tidak mahu solat Jumaat sebab masalah tadi. Saya tanya bila jumpa anak-anak muda yang cakap macam itu? Dia beritahu sebelum Jumaat. Saya tanya macam mereka sebelum Jumaat dah tahu khatib akan baca macam yang saudara cerita?! Saya kata, nampak sangat saudara membuat cerita karut. Lalu saya ingatkan jangan bermain bomoh di sini.

5. Seorang wanita yang bersama beliau mengambil gambar semasa beliau bercakap dengan saya. Mereka menyiarkan dalam FB beliau dengan ulasan yang samar. Sepatutnya beliau tidak perlu siarkan di FB beliau yang akhirnya hal beliau dijawab secara terbuka.

6. Apapun, mesej saya secara umum ialah jangan bawa amalan tahyul dan khurafat bomoh ke Perlis. Pada zaman ramai ambil kesempatan menipu wang orang lain, kita mesti sering mengingatkan rakyat hal ini.

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button