Nasionalpilihan

MDEC sasar 80,000 nomad digital datang ke Malaysia

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan kehadiran kira-kira 80,000 nomad digital yang akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan menerusi program DE Rantau menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz berkata, dijangka nilai ekonomi sebanyak RM4.8 bilion dapat dijana dalam bentuk perbelanjaan kepada ekonomi domestik negara menjelang tempoh yang disasarkan itu.

Menurutnya, DE Rantau merupakan program yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di ASEAN sekali gus meningkatkan penggunaan digital dan mempromosikan mobiliti profesional dan pelancongan di seluruh negara.

Beliau berkata, nomad digital juga turut dibenarkan bekerja selama setahun melalui Pas Lawatan Iktisas (PLK) yang dikeluarkan kepada warganegara asing yang ingin bertugas dan menjalankan kerja-kerja khusus untuk jangka masa singkat di negara ini.

“Program DE Rantau telah disambut baik oleh nomad digital dari dalam dan luar negara, pengusaha tempat penginapan pelancong serta platform digital.

“Sehingga kini terdapat 807 hab DE Rantau dan telah berdaftar dengan MDEC dan sebanyak 42 daripada jumlah tersebut adalah dari Melaka.

“Sehubungan itu MDEC menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 2,000 hab De Rantau untuk nomad digital bagi tahun ini,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran DE Rantau Melaka yang telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin.

Mahadhir berkata, Melaka adalah sebagai lokasi keempat pelancaran program tersebut selepas Pulau Pinang, Langkawi dan Kuala Lumpur serta akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang tahun ini.

Menurutnya, tiga lagi lokasi program itu akan dilancarkan selepas ini ialah di Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah; Ipoh, Perak dan Johor Bahru.

“Kita sedang dalam proses untuk mengiktiraf hab-hab lain di seluruh negeri dalam usaha untuk mencapai sasaran 2,000 hab DE Rantau menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Jelasnya, setakat ini 20 nomad digital dari luar negara kini berada di negara ini dan jumlah itu dijangka bertambah mencecah 2,000 orang menjelang akhir tahun ini apabila urusan visa serta PLK dapat diselesaikan dengan segera. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button