MBM mahu belia sebagai aset negara dipelihara
MAJLIS Belia Malaysia (MBM) mencadangkan kerajaan menggubal Akta Kesejahteraan Generasi Masa Depan yang berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030.
Presidennya Jufitri Joha berkata ini bertujuan menggesa pemimpin politik, pembuat polisi dan pentadbir supaya sentiasa memikirkan hak dan kesejahteraan generasi masa depan dalam setiap keputusan dan dasar yang dibuat.
“Hak dan kesejahteraan generasi muda belia sebagai aset generasi masa depan negara wajib dipertahankan dan dipelihara daripada tangan-tangan rakus yang menjarah kekayaan negara, perosak alam sekitar, para perasuah dan pengkhianat yang hanya memikirkan tembolok mereka dan langsung tidak mempedulikan nasib dan masa depan generasi muda belia,” katanya dalam kenyataan bersempena Hari Belia Negara, hari ini.
Selaras dengan Dasar Belia Malaysia 2015, MBM juga menggesa kerajaan agar segera menggubal Akta Kerja Belia Profesional bagi mewujudkan ekosistem dan profesion pekerja belia profesional.
Ini bagi membimbing jati diri dan menggilap bakat generasi muda belia secara profesional dan sepenuh masa, sekali gus mengiktiraf peranan pengamal kerja belia dan mewujudkan kerjaya berasaskan kemanusiaan yang semakin penting dewasa kini, katanya.
MBM turut meminta kerajaan terus memberikan bantuan tunai kepada belia dan rakyat bagi menyara keperluan harian dan membiayai kos pendidikan di samping memperkukuh sistem sekuriti sosial.
Katanya aspek pendidikan dan pekerjaan generasi muda wajib terus dijamin bagi berhadapan dengan situasi pandemik yang tidak menentu dan meninggalkan kesan mendalam terhadap kesejahteraan dan masa depan kumpulan itu.
Menurut Jufitri, belia bukan sahaja turut terkesan dari aspek ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kesihatan mental tetapi masa depan mereka juga kelihatan kelam dan tidak menentu disebabkan situasi pandemik. – BERNAMA