Mazlan Lazim dilantik jadi Timbalan Ketua Polis Negara
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Mazlan dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut bagi yang dikosongkan selepas penyandangnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara, 4 Mei lalu.
Sesi penyerahan jawatan itu dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Acryl Sani di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya hari ini.
Terdahulu, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa Mazlan antara individu yang bakal dilantik untuk menyandang jawatan tersebut.
Selain Mazlan, dua lagi nama yang disebut untuk menjawat jawatan berkenaan iaitu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya dan Pengarah Pengurusan, Datuk Ramli Din.
Untuk rekod, Mazlan sebelum ini pernah menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Ketua Polis Kelantan, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jawatan Perdana Menteri dan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman. -SM