Luar Negara

Mayat warga emas ditemui selepas tiga tahun terbiar

SEORANG warga emas wanita ditemui mati di pangsapurinya di London setelah tiga tahun terbiar.

Jiran-jiran yang berada di sekitar rumah warga emas itu turut mengadu lebih 50 kali berhubung bau ‘daging busuk’, lalat dan ulat sebelum polis menemui rangkanya di atas sofa.

Rangka Sheila Seleoane yang berusia 61 tahun di temui di sofa ruang tamu pangsapuri dengan satu bilik tidur di Peckham, London pada Jumaat lalu.

Selepas pihak polis memecahkan pintu, mereka turut menemui belon hari jadi berwarna merah jambu terang berhampiran mayatnya.

Jiran-jiran buat pertama kali mengadu mengenai ‘bau yang mengerikan’ kepada persatuan perumahan Peabody pada Oktober 2019 namun diendahkan.

Bantahan berterusan selama lebih dua tahun sebelum polis akhirnya memecah masuk ke kediaman tersebut minggu lalu.

Menurut laporan Daily mail, seorang ibu kepada empat anak, Ayesha Smith berkata, bau seperti ‘ayam busuk’ telah memenuhi pangsapurinya selama lebih dua tahun.

“Saya menghubungi persatuan perumahan sekurang-kurangnya 50 kali untuk mengadu. Mereka selalu mengatakan akan datang tetapi tiada apa yang dilakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, bau sempat hilang untuk jangka waktu tertentu, tetapi kemudian kembali lagi.

Kedengaran juga bunyi dengung yang sangat kuat datang dari dalam rumah yang rupa-rupanya adalah lalat. Ada yang besar dan yang kecil berkeliaran di koridor dan akan memasuki rumah orang apabila mereka membuka pintu depan.

Jurucakap pihak polis berkata, pada pukul 7.01 malam pada Jumaat, polis dipanggil ke sebuah pangsapuri di St Mary’s Road, Peckham. Kebimbangan telah dibangkitkan mengenai kesejahteraan seorang wanita yang tinggal di alamat tersebut.

“Pegawai datang dan memecah masuk ke rumah dan menemui mayat seorang wanita berusia 61 tahun. Kematian wanita itu dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dijelaskan tetapi tidak mencurigakan. Satu fail akan disediakan untuk koroner,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button