Matlamat strategik Proklamasi Melayu
Oleh Ruhanie Ahmad
Saya mendalami 12 fokus utama Proklamasi Melayu yang diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mac 2023, dan menemui hakikat berikut.
Pertama: Proklamasi Melayu adalah gagasan strategik yang melangkaui aspirasi perjuangan politik kepartian orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Peribumi selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kedua: Pemikiran strategik ini difokuskan kepada survival kelompok di atas dalam konteks Malaysia yang berbilang agama, dan keturunan.
Ketiga: Fokus ini juga berasaskan realiti orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Peribumi sebagai bangsa teras dan penduduk terbesar Malaysia.
Keempat: Realiti penduduk (demographic reality) ini juga difokus dari sudut keunggulan kuasa politik Melayu yang sudah “terlucut dari tangan mereka” menerusi PRU15.
Kelima: Hakikat ini menyebababkan “nasib orang Melayu kini dan akan datang tidak lagi dapat ditentukan oleh mereka.”
Keenam: Ini semua adalah akibat “kecuaian pemimpin Melayu sendiri.”
Ketujuh: Khususnya, ini kerana “Parti Melayu [yang ditubuhkan] atas nama Agama, Bangsa dan Negara sudah diseleweng menjadi parti untuk memewahkan diri.”
Kelapan: Padahnya sedemikian sebab “rebutan jawatan dan wang [dalam parti terbabit] telah menjahanamkan perpaduan bangsa Melayu.”
Kesembilan: Lantas, “masa depan Melayu kini amat gelap.” Kemiskinan memaksa mereka “menjual tanah-tanah mereka.”
Kesepuluh: Seluruh perkembangan ini boleh menyebabkan “kedaulatan tanah air ini (Malaysia) bakal terlepas dari tangan mereka.”
Kesebelas: Lebih parah lagi, orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Peribumi yang selama ini pun “tidak pernah menguasai ekonomi negara ini”, mungkin tidak mampu berbuat demikian buat selama-lamanya!
Keduabelas: Ini satu kemungkinan yang amat menggerunkan kerana “gerai-gerai kecil mereka pun [kini] sudah diambil orang.”
Penemuan di atas mencerminkan bahawa keunggulan dan keselamatan politik orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Peribumi sekarang ini adalah sedang terancam.
Ancaman terjangka ini pula boleh menjejaskan keselamatan sosio-ekonomi mereka; serta mampu mencetuskan masalah keselamatan jati diri mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kemungkinan di atas juga boleh mengancam kemerdekaan, kedaulatan dan keselamatan nasional Malaysia.
Oleh itu, misi utama Proklamasi Melayu adalah memperkasakan semula keunggulan kuasa politik orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Peribumi menjelang PRU16.
Ini kerana keunggulan kuasa mereka adalah paksi strategik kepada keselamatan politik dan keselamatan sosio-ekonomi mereka; serta teras penting kepada kedaulatan, kemerdekaan dan keselamatan nasional.
Jangan diremehkan faktor strategik dan kemungkinan di atas. Kesan dan implikasinya kepada rakyat Malaysia adalah berat, luas dan menyeluruh.
Ini sebabnya Proklamasi Melayu menuntut “penyatuan orang Melayu” dan menegaskan, misi “Menyelamatkan bangsa itu adalah kewajipan dan bukannya perkauman. Namun, ia akan menjadi perkauman jika bangsa itu dibiarkan tidak lagi relevan.”
Justeru, “ketepikan kepentingan parti dan diri sendiri. Bertautlah semula demi Agama, Bangsa dan Negara.”
Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, termasuk PAS dan Muafakat Nasional, telah menyokong Proklamasi Melayu.
Beberapa pemimpin Bersatu yang telah juga berbuat demikian, membayangkan bahawa sokongan pemimpin tertinggi Bersatu dijangka dibereskan tidak lama lagi.
Kesimpulannya, Proklamasi Melayu adalah gagasan strategik mengenai orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Peribumi; serta survival, keunggulan dan keselamatan kuasa politiknya; dan juga keselamatan jati diri dan keselamatan sosio-ekonominya di zaman selepas PRU15.
Jangan kita terpedaya dengan dakyah pihak “desperado” yang sengaja mahu melemah dan meremehkan gagasan strategik ini.
Artikel berkaitan > Program Proklamasi Melayu Tun Dr Mahathir petang ini dibatalkan