Bola SepakSukan

Matip cedera, Liverpool bawa masuk Davies, Kabak

PERTAHANAN Liverpool, Joel Matip terpaksa diketepikan sehingga musim ini berakhir setelah pemain Cameroon itu sekali lagi dihantui kecederaan sehingga memaksa Reds memasuki pasaran perpindahan.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu membawa masuk Ben Davies dan Ozan Kabak pada hari terakhir jendela perpindahan Januari, dengan Davies dibeli dari kelab Liga Kejuaraan, Preston, manakala Kabak akan tiba di Anfield secara pinjaman dari Schalke.

Matip ditimpa kecederaan ligamen buku lali, minggu lalu sewaktu Reds melakar kemenangan ke atas Tottenham, dan berita bek tengah itu terpaksa berehat panjang disahkan sendiri oleh Jurgen Klopp.

“Malang sekali, kami baru sahaja dimaklumkan bahawa Joel terpaksa diketepikan sehingga musim ini berakhir.

“Tetapi dia akan bersedia untuk permulaan pra-musim akan datang dan akhirnya, semua berjaya diatasi dengan baik,” kata Klopp.

Masalah kecederaan bek tengah yang melanda Liverpool telah mengundang tekanan dan kerja tambahan ke atas Matip, musim ini selepas Virgil van Dijk serta Joe Gomez ditimpa kecederaan yang serius.

Fabinho yang terpaksa mengisi posisi bek tengah turut diketepikan sejak dua perlawanan terakhir, dengan Jordan Henderson bermain di samping Nat Phillip sewaktu Reds menang 3-1 di West Ham.

Fabinho pada ketika ini bergelut untuk kembali cergas menjelang perlawanan penting Liga Perdana Inggeris, Isnin ini (waktu Malaysia) menentang Manchester City, sehingga mendorong Liverpool mencari jalan penyelesaian kepada masalah kecederaan yang menimpa mereka dengan masuk ke dalam pasaran perpindahan.

Davies mungkin diserapkan terus ke dalam skuad Liverpool untuk perlawanan Khamis ini bertemu Brighton di laman sendiri selepas dia melengkapkan perpindahan bernilai 1.6 juta pound (RM8.85 juta) dari Preston.

“Apa yang sukakan tentang Ben ialah pada setiap situasi dia berjaya mencipta peluang.

“Saya rasa ia cukup jelas bahawa dalam jendela perpindahan yang normal, tanpa sebarang isu, kami tidak meninjau sehingga ke Preston jika ada pemain sesuai untuk kami atau sesuatu seumpama itu. Ia tidak akan berlaku.

“Tetapi sejak kami melihat dia dan memandangkan situasi kami semakin jelas dengan masalah yang menimpa kami, jadi, apabila kami menyaksikannya kami amat teruja dan berpendapat, wow,” kata Klopp.

Sementara itu, Kabak masih lagi berada di Jerman dan akan memuktamadkan perjanjiannya dalam masa beberapa hari lagi.

Mengulas mengenai pemain antarabangsa Turki itu, Klopp berkata: “Dia seorang pemain yang sangat berbakat dan kami tidak sabar untuk bekerja dengannya.” – Mirror – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button