Maszlee menteri netizen, Tajuddin duta di Indonesia
Maszlee Malik bekas menteri pendidikan yang kononnya seorang terpelajar. Tetapi ketika menjadi wakil rakyat dan menjawat jawatan menteri tunggang langgang.
Justeru tidak hairan apabila beliau kalah apabila bertanding pada pilihan raya negeri Johor tempoh hari. Maszlee sepatutnya insaf dan bersara daripada politik kerana ia bukan bidang yang sesuai dengannya.
Kali ini dia menjatuhkan lagi martabatnya apabila berkongsi foto dari sumber yang tidak sah yang bertujuan mahu memperkecilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melawat Amerika Syarikat baru-baru ini.
Sedang foto berkenaan telah diedit dengan dibuang gambar Ismail Sabri dan apabila ada pihak yang menjawab di twitternya serta meletakkan gambar sebenar yang tidak diedit, ternyata ia adalah satu fitnah.
Maka menggelupurlah Maszlee memadam hantarannya tanpa rasa tanggungjawab untuk memohon maaf atas fitnah yang telah disebarkannya.
Itulah tahap pemikiran Maszlee yang kini hanya sama seperti netizen yang bertebaran di alam maya yang berkongsi sesuatu tanpa diperiksa kesahihan sumbernya.
Satu lagi berita yang menjadi perhatian netizen ialah pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia di Indonesia.
Posisi itu telah lama kosong dan kini difahamkan akan diisi oleh Tajuddin dan tentulah pemilihan itu dibuat oleh Ismail Sabri sendiri.
Tentu juga pihak Indonesia juga menjalankan siasatan dan penelitian sebelum setuju dengan cadangan individu yang bakal menjadi duta kerana ia bakal menjadi penghubung kepada bilateral kedua-dua buah negara.
Tajuddin bukan orang politik pertama menjadi duta, ramai lagi yang telah memikul tugas itu dan setakat ini ternyata mereka berjaya melaksanakan tugas masing-masing.
Apa masalah dengan pelantikan Tajuddin? Beliau bukan seorang kaki fitnah. Cuma beliau seorang yang sentiasa berkelakuan jujur dan tegas dalam sesuatu isu.
Sehingga ada yang menyifatkan sebagai satu bencana, ia adalah tidak adil kerana beliau belum lagi menjalankan tugasnya.
Harus diingat media Indonesia sangat terbuka dalam mengkritik sesuatu isu dan bukan seperti media di Malaysia, jadi kita tidaklah perlu mengajar negara berkenaan untuk mengambil sikap dan pendirian kerana mereka lebih jauh ke hadapan berbanding kita.
Saya ucapakan: Selamat maju jaya Datuk Seri Tajuddin dan bagi Maszlee bolehlah jadi menteri netizen.