NasionalNegeri

Masyarakat Kelantan masih gagal fahami keperluan SOP

KES harian baharu di Kelantan didakwa berpunca daripada sikap penduduk di sana enggan memahami keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Malah mereka dikatakan gagal menjiwai norma baharu dan hanya mematuhi SOP pencegahan pandemik Koronavirus (Covid-19) apabila terserempak dengan pihak berkuasa.

Hal demikian menyebabkan mereka perlu difahamkan dengan situasi sebenar pesakit yang pernah mengalami jangkitan Covid-19.

“Masyarakat bukan sahaja di Kelantan masih gagal menjiwai prosedur operasi standard norma baharu, ia tidak diasimilasi dalam jiwa, kita rasa nak pakai pelitup muka hanya bila nampak polis.

“Kita tidak pakai secara automatik, sedangkan kita dah berdepan dengan wabak ini lebih setahun. SOP ini pun sudah lebih dari setahun, sepatutnya perkara ni sudah sebati dengan kita.”

Demikian kata Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr. Mohd. Azman Yacob yang menjelaskan hanya bekas pesakit yang benar-benar fahami betapa bahayanya Covid-19.

Beliau yang mengadakan tinjauan di PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, semalam memberitahu, bekas pesakit wajar menjadi ‘duta’ bagi berkongsi pengalaman kepada masyarakat.

Katanya, bekas pesakit adalah orang yang lebih arif serta memahami derita dijangkiti wabak berkenaan dan pasti dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Saya selalu memberi penekanan kepada pesakit yang berada di PKRC, bahawa mereka adalah duta Covid-19 apabila keluar dari pusat kuarantin untuk berkempen kepada masyarakat lain, tentang kesedaran mengenai Covid-19.

“Mereka boleh beri penekanan kepada masyarakat agar patuh kepada 3C (crowded place, confined space, close conversation) dan 3 W (wash, wear, warn) itu sendiri, termasuk mengekalkan penjarakan fizikal dan mengelak berada di tempat sesak dan sebagainya,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button