Merrepak

Masukkan rokok dalam senarai barangan penting PKP Covid-19

KETAWA besar seorang sahabat ketika terserempak di kedai runcit sambil menunjukkan tangan kanan memegang sebuku roti, tangan kiri sekarton rokok. “Essential items!,’’ katanya sebelum berlalu.

Sahabat berkenaan beli sekarton iaitu 10 kotak rokok sekali gus supaya tidak perlu kerap berulang-alik ke kedai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 ini. Rasanya, semua perokok tegar melakukan perkara serupa, terutama yang chain-smoker atau kategori perokok yang menghabiskan sekotak 20 batang dalam 24 jam sahaja.

Bagi kalangan perokok, tak usahlah disebut perihal sayangkan nyawa atau kos belanja sekotak RM17.50 untuk rokok gred 1. Jika itu sudah jadi pilihan, maka itulah pilihan mereka. Ada juga kelompok yang beralih kepada rokok gred 2, harga dalam lingkungan RM11.90 hingga RM12.90 sekotak. Gred 3 (bawah RM10) ada banyak tapi ia umpama meminum Pepsi tanpa gas.

Related Articles

Baru-baru ini, saya baca analisis di sebuah akhbar mengenai perdagangan rokok seludup berleluasa di waktu PKP Covid-19 ini. Ini kerana rokok tidak dianggap `essential items’ seperti makanan tetapi rupa-rupanya dalam perundangan, rokok tergolong sebagai barangan penting.

Bila kerajaan hendak kaji lebih mendalam perkara ini, tidak tahulah. Industri rokok mendakwa dua bulan tempoh PKP ini sahaja sudah meragut RM1 bilion dari segi hasil cukai kepada negara.

Analisis itu juga mendorong saya mengkaji lebih lanjut dan Merrepak hari ini. Tidaklah berskala akademik, sekadar berusaha mencari salinan laporan kajian firma-firma antarabangsa mengenai situasi industri rokok dan perdagangan gelap di Malaysia. Sesungguhnya, banyak juga maklumat baharu ditemukan.

Berikut saya kongsikan bersama anda antara penemuan-penemuan kajian firma antarabangsa tersebut:

  1. Isu rokok seludup di Malaysia bukan terhad kepada domestik semata-mata, sebaliknya Malaysia telah berkembang menjadi `pusat pengedaran rokok seludup’ di rantau ini, menurut Euromonitor International Ltd.
  2. Malaysia, bersama dengan China, Vietnam, Indonesia, Singapura, telah dikenal pasti sebagai vektor utama di dalam penyebaran tembakau haram di seluruh rantau ini.
  3. Tembakau haram, kebanyakannya dikilang di China, diangkut ke Malaysia sebelum diedar ke seluruh Asia, dan destinasi terjauh, merangkumi Australia.
  4. Di Australia, lebih 40% tembakau haram adalah didatangkan dari, atau pemunggahan kapal menerusi, Malaysia.
  5. Baru-baru ini, Biro Hasil Dalam Negeri Filipina telah merampas lebih sejuta kotak rokok haram di provinsi Pampanga, Luzon tengah. Produk kontraban ini sepatutnya diangkut menggunakan kapal ke Malaysia bagi kegunaan tempatan selain dieksport ke negara lain.
  6. Lebih daripada 50% tembakau seludup di Malaysia dibawa masuk menerusi pelabuhan dan lorong tikus.
  7. Syarikat-syarikat anggota Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) mengedar produk tembakau kepada 60,000 kedai runcit di Malaysia. Produk ini adalah sebahagian daripada kategori barangan di dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) yang menjejak kadar inflasi.
  8. Ia diselia ketat oleh Kementerian Kesihatan mengikut Akta Makanan 1983 dan diiktiraf sebagai barangan harian penting yang perlu ada untuk jualan di saluran runcit makanan dan kemudahan awam.
  9. Namun sekarang jelas wujud ketidakseragaman. Garis panduan PKP kata rokok bukan barangan penting.
  10. Akibatnya, sepanjang tempoh PKP ini, permintaan untuk rokok seludup telah bertambah dan sindiket menggandakan penggunaan eDagang dan platform media sosial bersama dengan perkhidmatan E-hailing serta kurier.

Daripada pembentangan di atas, apakah langkah seterusnya yang wajar dilakukan Kerajaan? Kita dapati pihak berkuasa telah melakukan operasi merampas rokok-rokok yang tidak dibayar cukai. Itu penyelesaian aspek penguatkuasaan, maka baguslah. Harap ia bukan acara bermusim tetapi berterusan dan kerap lagi tegas.

Bagaimana pula jika PKP Covid-19 ini dilanjutkan sebulan lagi? Apakah pihak berkuasa akan mengkaji semula kedudukan rokok sebagai barangan penting seperti terkandung di dalam Akta Makanan 1983?

Mungkin bagi kalangan yang mengelar diri sendiri sebagai pejuang anti-perokok, inilah kejayaan peribadi mereka kerana kononnya dapat membantu `mengurangkan atau membanteras’ ketagihan merokok dalam kalangan rakyat.

Tetapi ketahuilah jika benar itu niat asal penggubal garis panduan PKP Covid-19 memotong rokok dari dalam senarai, anda telah menyumbang kepada peningkatan penyeludupan rokok di pasaran.

Inilah sebab rakyat mahu orang yang menggubal undang-undang itu terdiri daripada mereka yang benar-benar berpijak di bumi nyata, bukan duduk di kerusi empuk di menara gading semata-mata atau menjadi pegawai kayangan yang tidak peduli sentimen dan kemahuan rakyat marhain semasa PKP Covid-19 ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button