Mason Greenwood ditahan polis kerana merogol, menyerang wanita
BINTANG Manchester United, Mason Greenwood telah ditahan polis kerana disyaki merogol dan menyerang selepas seorang wanita menyiarkan gambar dan videon di media sosial.
Greenwood, 20, kini dalam tahanan untuk disoal siasat dan siasatan sedang dijalankan, kata Polis Greater Manchester.
Polis melancarkan siasatan selepas dimaklumkan mengenai imej dan rakaman itu awal Ahad.
Penahanan berlaku selepas Manchester United mengumumkan bahawa Greenwood tidak akan kembali berlatih atau bermain sebarang perlawanan “sehingga diberitahu kelak” selepas dia dituduh menyerang seorang wanita.
Dakwaan itu terhadap Greenwood dikeluarkan di Instagram pada pagi Ahad dan termasuk video, gambar, dan nota suara yang didakwa sebagai perbualan antara Greenwood dan wanita itu.
Bagaimanapun hantaran itu telah dipadam.
Manchester United berkata dalam satu kenyataan sebelum ini: “Kami menyedari imej dan dakwaan yang tersebar di media sosial.
“Kami tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut sehingga fakta dapat dipastikan.
“Manchester United tidak membenarkan sebarang bentuk keganasan.”
Greenwood, 20 dari Bradford, membuat penampilan sulungnya pada 2019 dan sejak itu telah mencatatkan 129 penampilan untuk kelab itu. = Sky Sport