Maskot kesayangan Arsenal, Gunnersaurus kembali ke pangkuan Emirates
GUNNERSAURUS, hari ini, pulang ke pangkuan Stadium Emirates selepas kontroversi pemecatannya, bulan lalu.
Arsenal telah menyingkirkan maskot yang cukup dikenali dalam kancah Liga Perdana Inggeris buat sementara waktu selepas 27 tahun.
Keputusan itu dibuat dalam usaha kelab tersebut mengambil langkah penjimatan kos, berikutan perlawanan pada ketika ini dilangsungkan secara tertutup.
Tindakan tersebut telah membangkitkan kemarahan ramai, dengan individu seperti Piers Morgan dan Holly Willoughby mengkritik keputusan yang dibuat pengurusan The Gunners.
Malah, apa yang membuat peminat terharu ialah kesediaan bintang Arsenal yang dipinggirkan, Mesut Ozil untuk membayar gaji dinasour kesayangan ramai itu sepanjang tempoh baki kontraknya bersama kelab itu.
Namun, para peminat, hari ini, gembira menyaksikan dinasour yang selesa untuk dipeluk itu terselamat daripada ‘dilupuskan’ dan kembali ke stadium keramat The Gunners.
Gunnersaurus menerusi Twitter berkata: “Kembali kepangkuan Stadium Emirates, hari ini.”
Menyaksikan perkongsian Twitter itu, beberapa peminat yang teruja turut melahirkan rasa gembira mereka menerusi platform media sosial tersebut.
Salah seorang peminat menulis: “Ya sahabat! Selamat kembali.”
Seorang lagi peminat pula menambah: “Selamat pulang.”
Peminat Chelsea turut memanfaatkan kesempatan itu untuk bergurau apabila menyatakan: “Dia akan melakukan tugasnya dengan lebih baik berbanding Willian pada Ahad ini.”
Seorang peminat Arsenal juga sempat bergurau dengan menulis: “Pertama Biden, kemudian vaksin Covid dan sekarang Gunnersaurus pula kembali ke pangkuan Arsenal.”
Sementara itu, seorang peminat pula berkata: “PPV (pay per view) telah dihapuskan, Gunnersaurus pula sudah kembali, bola sepak mampu menyembuhkan.” – The Sun – SM