MASA kenalkan Geran MPDP, hasilkan penyelidikan impak besar – Muhyiddin
INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) telah memperkenalkan Geran Program Pembangunan Dasar (MPDP), di mana salah satu fokus utamanya adalah untuk menggalakkan kajian tentang aspek-aspek pemulihan dalam pelbagai sektor ekonomi, sosial dan pendidikan sektor lain.
Pengerusi MASA, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia boleh dijadikan panduan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) dalam melaksanakan dasar dan strategi pemulihan pasca pandemik.
Menurut beliau, inisiatif ini juga turut menyediakan platform kepada penyelidik dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) tempatan untuk menjalankan penyelidikan yang berimpak tinggi, khususnya dalam bidang ekonomi, sosial dan pembangunan lestari.
“saya yakin bahawa program MPDP ini telah dirangka secara teliti dan komprehensif, sekali gus membuktikan kemampuan MASA dalam menarik minat penyelidik dari pelbagai latar belakang untuk terlibat aktif dalam memberikan cadangan dan input dalam merangka strategi dan inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Sebagai contoh, Muhyiddin teruja dengan cadangan yang diutarakan oleh para penerima Geran MPDP berkaitan isu ‘kemiskinan situasi’ yang dicadangkan oleh Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
“Saya juga amat tertarik dengan cadangan berkaitan pemulihan ekonomi yang dicadangkan oleh Dr. Peter Aning anak Tedong dari Universiti Malaya (UM) dengan tajuk Revitalizing the Urban B40 Communities Through the Development of a Multidimensional Integrated Community Sustainability Planning (ICSP) Framework.
“Begitu juga dengan cadangan berkaitan sektor eko-pelancongan yang dicadangkan oleh Cik Kalai Vani dan pasukan penyelidikan beliau dari Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) yang menjalankan kajian berkaitan peranan orang kelainan upaya (OKU) terhadap kelestarian sektor pelancongan di Malaysia, dengan melihat aspek pembangunan kapasiti dan program-program sokongan yang dirangka khusus bagi golongan OKU,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penganugerahan Geran MPDP, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan merangkap Pemegang Amanah MASA, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd. Amin.
Beliau turut berharap agar lebih ramai penyelidik di IPTA dan IPTS di Malaysia dapat menghasilkan penulisan penyelidikan baharu berimpak tinggi, diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seterusnya menjana potensi nilai tambah kepada sosioekonomi negara.
Beliau menambah, masih banyak ruang dan peluang bagi negara kita untuk memacu ekonomi inovatif berlandaskan penyelidikan dan pembangunan dan berharap agar program MPDP ini akan memberi motivasi dan menjadi pembakar semangat para penyelidik tempatan untuk menghasilkan penyelidikan yang memberi impak besar.
“Ia juga adalah ke arah penambahbaikan dasar dan strategi dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat dan negara, seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipandang tinggi dalam aspek penyelidikan dan pembangunan,” ujarnya. – SM