Mas Emeryati tidur lena kerana keletihan, hanya fikir sumbang ‘kerusi’ untuk PN
SELEPAS dua minggu berkempen, calon Ketua Menteri Perikatan Nasional Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidur lena malam tadi beberapa jam sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung.
Ditemui di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Ramuan China, calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara itu berkata, dia tidur pada pukul dua pagi malam tadi dalam keadaan keletihan.
“Sebab saya sudah keletihan semalam. Jadi balik rumah pukul 2.00 pagi. Lenalah. Dia gelak. Tak sangka dalam tempoh yang lah sebelum pengumuman calon, rasa macam begitu panjang sekali. Tengok-tengoh sudah hari mengundi.
“Semalam kita mengadakan perjumpaan dengan semua calon, semua jentera. Saya ingin rakamkan terima kasih kepada semua jentera dalam dan dari luar Melaka. Semangat yang mereka tunjukkan sangat luar biasa,” katanya kepada media sebelum masuk ke dalam pusat mengundi.
Mas Emeryati yang merupakan Ketua Bersatu Masjid Tanah berkata, dia sangat terhutang budi kepada jentera parti.
Semangat yang mereka tunjukan telah memberikan kekuatan bukan sahaja kepada dirinya tetapi untuk seluruh calon dan jentera PN.
Ketika ditanya apa yang ada dalam fikirannya, sekiranya menang dan dilantik sebagai Ketua Menteri wanita pertama di Melaka dan di Malaysia, Mas Emeryati menjawab, “Saya tak pernah terfikir pun, apa yang saya nak buat masa pilihan raya negeri, saya hanya fikirkan untuk menyumbang satu kerusi untuk Perikatan Nasional. Itu sahaja.”
Mas Emeryati tiba di Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar kira-kira pukul 7.54 pagi sebelum pusat pengundian tersebut dibuka untuk proses pengudian.
Sebelum hadir ke pusat berkenaan dia sempat menziarahi kubur arwah ayahnya
Samsuddin Mat Ali yang meninggal dunia pada bulan Ogos yang lalu.
Menurut Mas Emeryati, ayahnya merupakan pembakar semangat sejak kecil untuk dirinya berjaya dalam kehidupan.
“Arwah abah merupakan saya punya pembakar semangat sejak kecil. Di sekolah, dalam pembelajaran, dalam kehidupan dan dalam politik.
“Dia merupakan saya punya ikon daripada kecil. Belajar rajin ingin masuk universiti macam dia. Dia pun pernah menceburkan diri dalam politik. Dia yang banyak mencorakkan kehidupan saya.
“Walaupun saya tak pernah nyatakan, dia antara yang banyak mempengaruhi saya. Sebab itu sebelum pergi saya melawat kuburnya,” kata beliau.
Di DUN Tanjung Bidara, Mas Ermieyati akan ditentang oleh Ab Rauf Yusof (BN) dan Zainal Hassan (PH-PKR).
Seramai 112 calon bertanding dalam PRN Melaka yang akan bertarung di 28 kerusi DUN. Sebanyak 90 calon adalah daripada lima parti politik dan 22 calon Bebas. PN, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan meletakkan 28 calon di semua kerusi. -SM