Martabatkan seni dan budaya melayu
Memahami kebudayaan Melayu adalah salah satu aspek penting bagi menghargai peradaban bangsa negara Malaysia.
Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad berkata demikian ketika merasmikan Festival Seni dan Budaya (FESDAYA) 2022 anjuran Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut beliau sejarah ketamadunan menunjukkan betapa pentingnya penerokaan ilmu pengetahuan yang sememangnya signifikan dalam membangunkan sesebuah peradaban bangsa.
Oleh itu, katanya, dalam membina pertiwi, semua pihak perlu mempersiapkan diri dengan memiliki budaya dan peradaban yang tinggi seperti dilengkapi pekerti, kebijaksanaan dan berbudi luhur untuk menggalas amanah dalam mendepani cabaran global untuk memperteguh peradaban bangsa bagi mendokong agenda negara.
Katanya, budaya dan peradaban yang tidak ternilai ini mesti dipertahankan oleh semua pihak dan perlu diwariskan kepada generasi akan datang, malah semua lapisan masyarakat perlu diberi kesedaran tentang kepentingan kebudayaan sebagai salah satu cara hidup yang beridentitikan rupa bentuk bangsa yang menjadi warganegara Malaysia.
“Saya berharap penganjuran festival ini apat menyemarakkan sumbangan ilmu oleh UPSI kepada masyarakat dalam memberi kefahaman dan ilmu pengetahuan, khususnya terhadap kepentingan menghargai dan meraikan budaya,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh berkata program FESDAYA 2022 diharapkan dapat memahat nama Muallim sebagai daerah kelahiran para ilmuan dan sarjana, sekali gus mampu menjadi destinasi edu tourism pada masa akan datang sejajar dengan peranan UPSI menjadi sumber rujukan masyarakat tidak kira dari dalam ataupun dari luar negara.
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) , Prof Madya Dr Mazura @Mastura Muhammad berkata kita harus menyanjung seni dan budaya bangsa kerana ia adalah warisan yang melambangkan identiti sesebuah negara dan bangsa.
“Saya mengucapkan tahniah kepada BUDIMAN yang aktif melaksanakan program yang kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan yang dapat menyerlah dan meningkatkan imej fakulti,” katanya.
Presiden BUDIMAN , Prof Dr Abdul Halim Ali berkata program FESDAYA 2022 berkata BUDIMAN mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mendanai program di bawah Geran Sepadan Sektor Kebudayaan di bawah Pelan Pemulihan MOTAC.
“BUDIMAN akan meneruskan usaha membangun, mengembangkan dan memajukan serta memperkasakan seni, budaya dan persuratan Melayu di negara ini dan di persada antarabangsa menerusi pelbagai kegiatan,” katanya.
Sempena FESDAYA 2022 dari 25 hingga 27 Oktober diadakan pameran seni dan budaya, seminar, diskusi buku, wacana tokoh sastera, Malam SeNusantara Puisi, serta pementasan Sitara Sakti di Panggung Eksprimen, Kampus Sultan Azlan Shah malam ini.