Acara

Markas 30 Briged laksana CIMIC di Kampung Seberang Ramai

MARKAS 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia telah melaksanakan Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) MINDEF Teras 4 Peringkat 30 Briged di Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis yang bermula dari 8 pagi sehingga jam 7 petang.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Pameran Senjata dan Kenderaan Tentera, Demonstrasi Masakan Rangsum Tempur, Pemeriksaan Kesihatan dan Gotong-Royong Perdana serta beberapa aktiviti lain yang melibatkan penyertaan pegawai dan anggota 30 Briged serta masyarakat setempat Kampung yang terlibat dalam Program TransformasiDiRaja tersebut.

Program yang turut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenaan bertujuan untuk mempertingkatkan penglibatan rakyat dan seluruh komuniti masyarakat dalam aspek pertahanan serta keselamatan Negara.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis tersebut walaupun dalam keadaan hujan lebat yang melanda negeri ini sejak beberapa hari yang lalu.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Selepas itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli bagi menyantuni dan mendekati para asnaf di sekitar kampung tersebut.

Kayuhan amal pada edisi kali ini turut disertai oleh para pegawai kanan serta anggota lain-lain pangkat Markas 30 Briged Infantri serta ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan dalam usaha membantu golongan asnaf dan menyelami kesusahan dan kepayahan mereka seterusnya menyalurkan bantuan yang sewajarnya.

Tuanku Raja Muda berkenan untuk singgah bagi menyampaikan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini terdiri kepada Ali Jaya Pin, 71 tahun dari Taman Wai Permai, Aminah Othman, 95 tahun dari Kampung Seberang Tandiap dan Ah Saad, 93 tahun dari Kampung Seberang Alor.

Masing-masing menerima setiap seorang bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi membantu menampung keperluan harian mereka.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button