Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 10 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM400,000 Jumaat lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun berjaya diberkas ketika cubaan memindahkan dadah itu dari darat ke sebuah bot pancung dinaiki empat individu lain dipercayai dari Indonesia.
Menurutnya, serbuan itu dilakukan hasil daripada risikan dan maklumat mengenai kehadiran sebuah bot mencurigakan di perairan Tanjung Kling kira-kira pukul 1 pagi pada 28 Julai lalu.
“Setibanya di lokasi kejadian bot suspek dinaiki empat individu dipercayai warga Indonesia dikesan berada di pesisir Pantai Kundor.
“Ketika cubaan merapat ke arah bot pancung tersebut dalam keadaan kelam kabut suspek terus memecut laju bot tersebut melarikan diri serta meninggalkan seorang lelaki disyaki rakan suspek,” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat Maritim Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka di sini hari ini.
Iskandar berkata, hasil pemeriksaan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, pihaknya turut menemui sebuah beg pakaian berwarna hitam dan merah mengandungi tujuh bungkusan teh Cina berjenama Jin Xuan Tea.
Turut ditemui katanya, tiga bungkusan berwarna putih dan kesemuanya berisi ketulan mampat dadah disyaki jenis syabu yang dijangkakan akan dibekalkan kepada lebih 20,000 penagih.
“Dadah ini dipercayai datang dari luar negara kalau dilihat dari segi pembungkusan dan ia adalah untuk pasaran di Indonesia,” ujarnya.
Beliau menambah suspek ditahan dan kesemua barang turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1963.
Katanya lagi, lelaki berkenaan telah direman pada 28 Julai lalu sehingga 10 Ogos ini. -SM