Sukan

Marchetti berang pekerja pencuci kereta jahanamkan Ferrarinya

Kereta baharu dan kesayangan penjaga gol Genoa remuk rempuh 'divider'

PEMAIN antarabangsa Itali, Federico Marchetti hilang sabar gara-gara kereta mewah miliknya, Ferrari yang bernilai 300,000 pound (RM1.63 juta) dijahanamkan oleh seorang pekerja cuci kereta.

Penjaga gol Genoa itu menghantar kereta baharunya Ferrari 812 Superfast ke kedai cuci kereta untuk dibersihkan sewaktu dia menjalani latihan bersama kelab Serie A.

Bagaimanapun, pekerja pencuci kereta yang diberi tanggungjawab untuk menghantar semula Ferrari merah berkilat itu ke pangkalan latihan Genoa gagal memandu kenderaan tersebut dengan baik.

Akibatnya, Ferrari milik Marchetti itu mengalami kerosakan teruk selepas pekerja itu merempuh pembahagi jalan dan turut melanggar lima buah kereta lain yang parkir.

Beberapa keping gambar menunjukkan kereka mewah itu remuk teruk di bahagian depan sewaktu polis dan pekerja membaik pulih kenderaan berada di lokasi kejadian.

Pekerja yang memandu Ferrari itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi Marchetti berang melihat kereta kesayangannya itu rosak teruk.

Bagaimanapun, bekas penjaga gol Torino dan Lazio itu masih mampu menunjukkan sikap kemaafannya menerusi mesej dalam Instagram.

“Saya mohon maaf di atas apa yang berlaku. Syukurlah tiada sesiapa yang tercedera dan itu yang paling penting.

“Saya ada membaca banyak perkara buruk yang ditulis. Biarkan sahaja, saya tidak akan membacanya lagi,” kata Marchetti.

812 Superfast merupakan kereta sport Ferrari paling berkuasa yang pernah dibina. Kenderaan itu memiliki kelajuan maksimum melebihi 211mph (339 kmj).

Marchetti pernah memiliki 11 caps bersama skuad kebangsaan Itali dan beraksi pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010. – The Sun – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button