Nasional

Mansuhkan saja levi HRD Corp, biar majikan laksana latihan sendiri

Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) tidak sepatutnya dibenarkan lagi mengutip levi  berikutan laporan terbaru mengenai salah urus dan penyelewengan kewangan, kata William Leong (PH-Selayang).

Leong memberitahu Dewan Rakyat bahawa syarikat dan majikan harus dibenarkan menguruskan program latihan pekerja mereka sendiri kerana mereka berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menentukan kemahiran dan latihan yang diperlukan untuk pekerja mereka.

HRD Corp, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, bertanggungjawab memacu pembangunan bakat Malaysia melalui kutipan levi daripada majikan yang digunakan untuk membiayai program latihan dan pembangunan.

“Objektif levi ini adalah untuk memberi latihan kepada pekerja, bukan untuk membuat pelaburan. Ini telah mewujudkan peluang ketirisan dan rasuah.

“Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dan membenarkan majikan menjalankan latihan mereka sendiri.

“Kerajaan sepatutnya hanya memberi insentif kepada majikan untuk menggalakkan latihan ini,” kata Leong.

Dalam laporannya yang dikeluarkan Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati panel pelaburan HRD Corp telah melabur levi yang dikutip daripada majikan dalam beberapa pelaburan “berisiko tinggi”.

PAC mendapati bahawa panel itu tidak melaporkan aktiviti pelaburannya kepada lembaga pengarah HRD Corp, menyebabkan kekurangan pengawasan.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga mendedahkan bahawa tiada wakil Bank Negara Malaysia telah menduduki panel pelaburan HRD Corp sejak 2017, yang merupakan pelanggaran Akta Pembangunan Sumber Manusia (HRD) 2001.

Secara berasingan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan isu seperti tadbir urus yang lemah dalam pelaburan HRD Corp sebanyak RM3.727 bilion – yang mengakibatkan kerugian tidak direalisasi sebanyak RM49.38 juta daripada 29 transaksi pelaburan.

Jumaat lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar firma yang membayar levi mandatori kepada HRD Corp dihentikan.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata levi yang dibayar mewakili pendapatan titik peluh perniagaan yang diamanahkan kepada HRD Corp untuk pembangunan bakat.

Awal semalam, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melawat pejabat HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia untuk merampas dokumen berkaitan siasatan yang dilancarkan selepas kedua-dua laporan itu dikeluarkan Khamis lepas. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button