Nasional

Mangsa serangan gajah dapat rumah baharu

JABATAN Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang membaiki 81 rumah Orang Asli tahun lalu yang memerlukan kerja baik pulih dengan peruntukan RM13 juta.

Pengarah Jakoa Pahang Johari Alwi berkata pada suku pertama tahun ini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan RM300,000 untuk 20 rumah untuk pembaikan dan baik pulih.

Beliau berkata selain itu 10 rumah akan dibina dengan harga RM1.32 juta dengan keutamaan diberikan kepada mangsa bencana alam seperti ribut, banjir, serta kebakaran dan serangan gajah.

Rumah baharu yang akan dibina akan mempunyai tiga bilik tidur, tandas dan bilik air.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha membantu dengan menyediakan rumah untuk masyarakat Orang Asli. Malah bagi rumah yang rosak, pembaikan dilakukan sepanjang tahun.

“Setiap tahun terdapat kira-kira 100 hingga 120 permohonan membaiki kediaman dari seluruh negeri dan sejak 2010 sebanyak 5,000 permohonan memiliki kediaman baharu telah diterima.

“Bagi permohonan kediaman baharu, keutamaan diberikan kepada mereka yang ditimpa bencana alam seperti rumah sebelum ini hangus terbakar, rosak dan musnah dilanda ribut serta serangan gajah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata bagi tahun ini terdapat dua permohonan membabitkan rumah hangus terbakar dan lima rumah terjejas akibat cuaca.

“Saya berharap masyarakat Orang Asli yang sudah menerima rumah baharu daripada kerajaan pusat dan negeri menghargai bantuan sebegini. Sebenarnya mereka amat bertuah kerana ramai lagi yang tidak berpeluang menerima manfaat dan bantuan sebegitu,” katanya. -SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button