Sukan

Mamat raih kedudukan podium tanpa khidmat abang di sisi

KOTA KINABALU, 6 Feb — Ketiadaan abang, Mohd Zamri Saleh pada edisi kali ini jelas tidak menjejaskan rentak kayuhan pakar pecut  Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Mohd Harrif pada perlumbaan pembuka tirai jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 hari ini.

Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu menamatkan saingan di tempat kedua dalam acara Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu yang melibatkan sembilan pusingan perlumbaan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid dari pasukan Jelajah Dunia (World Team), NTT Pro Cycling Team muncul juara, manakala pelumba pasukan St George Continental Cycling Team, Blake Quick dari Australia menamatkan saingan di tempat ketiga.

Ketua pegawai perlumbaan mengisytihar 10 pelumba terbaik yang melepasi garisan penamat dalam  kelompok besar dengan catatan masa satu jam 32 minit  01 saat.

Peminat sukan berbasikal tanah air tidak dapat menyaksikan gandingan adik-beradik yang digelar ‘The Samseng Brothers’ pada edisi kali ini apabila Mohd Zamri, 35, memutuskan untuk tidak menyertai saingan berprestij itu atas sebab tahap kesihatan yang tidak membolehkannya berlumba dalam perlumbaan bertaraf tinggi.

Mohd Zamri sebelum ini menjalani pembedahan membuka saluran darah ke jantung pada September tahun lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Mohd Harrif, 31, yang ditemui pemberita selepas perlumbaan berkata beliau tidak menyangka dapat meraih kedudukan podium kerana rentak perlumbaan hari ini yang agak laju membabitkan laluan landai.

“Kemenangan ini meningkatkan keyakinan saya untuk menghadapi baki perlumbaan selepas ini.

“Kumpulan peloton berjaya menangkap kumpulan pendahulu dalam jarak lima kilometer terakhir, dan strategi hari ini nampak berjaya dan alhamdulillah dapat,” katanya yang mesra dengan panggilan Mamat.

Mengenai peluang untuk meraih kedudukan podium pada peringkat pertama di Kuching, esok, Mohd Harrif optimis mampu mengulangi kejayaan sama dilakar pada hari ini.

“Saya tidak pasti lagi peluang untuk kedudukan podium esok, dan saya akan melihat perancangan jurulatih (Jeremy Hunt), dan insya-Allah, semoga ada lagi rezeki untuk saya pada perlumbaan esok,” jelas Mohd Harrif yang melakar kemenangan mengejut pada LTdL 2019 dari Senawang ke Melaka.

Peringkat pertama LTdL 2020, esok melibatkan jarak sejauh 96.2 km sekitar Bandaraya Kuching dengan menampilkan tiga zon pecutan di Sejingkat, Kuching Isthmus dan third passage.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button