Malaysia Mengeluarkan Permintaan Menyekat Kandungan Dan Akaun TikTok Tertinggi Di Dunia
Sekatan dan penapisan kandungan adalah sesuatu yang sudah resam dan sebati dengan mana-mana kerajaan yang memerintah Malaysia. Baru-baru ini, TikTok telah mengeluarkan laporan ketelusan berkenaan permintaan kerajaan negara untuk menyekat kandungan dan juga akaun-akaun di TikTok dari Januari ke Jun 2024.
Agak mengejutkan, laporan tersebut memperlihatkan bahawa kerajaan Malaysia hadir dengan jumlah permintaan sekatan kandungan dan akaun tertinggi di dunia, sebanyak 2606 permintaan sepanjang tahun 2024. Jumlah kandungan yang diminta untuk diturunkan pula dilaporkan sebanyak 8836 video.
TikTok juga dilihat memecahkan angka kandungan yang dikenakan tindakan, dan memecahkannya kepada dua bahagian, iaitu kandungan dan akaun yang diambil tindakan kerana melanggar tata-tertib penggunaan platform TikTok, dan juga kandungan yang diambil tindakan kerana kesalahan melanggar undang-undang negara.
Untuk kesalahan melanggar tata-tertib platform, sebanyak 2229 kandungan telah dipadamkan dari platform tersebut, manakala untuk kesalahan melanggar undang-undang negara, sebanyak 5296 kandungan telah dipadamkan.
Untuk akaun-akaun yang diharamkan pula, sebanyak 2080 akaun telah diharamkan kerana melanggar tata-tertib penggunaan platform, dan sebanyak 423 akaun telah diharamkan kerana melanggar undang-undang negara. Angka tersebut juga merupakan yang tertinggi di dunia untuk pecahan bahagian ini.
Dari segi kadar pemadaman kandungan dan akaun berdasarkan permintaan kerajaan Malaysia, purata pemadaman dilihatkan pada 86 peratus, yang juga salah satu daripada kadar tertinggi di dunia untuk platform tersebut.
Mungkin apa yang mengejutkan ialah jumlah permintaan menyekat kandungan dan akaun di TikTok oleh kerajaan Malaysia adalah lebih banyak daripada lima negara seterusnya didalam senarai tersebut, termasuklah Indonesia, Australia, Russia, Pakistan dan Turkiye.
Untuk negara dengan jumlah kandungan yang terbanyak dalam senarai ini, ia adalah Pakistan dengan 25,367 kandungan, dimana 94.4 peratus daripadanya juka dipadamkan daripada platform tersebut.
Jika anda berminat untuk membaca dan melihat sendiri laporan ini, anda boleh ke laman web TikTok Government Removal Requests Report.
Sumber : Amanz