BeritaEkonomiNasional

Malaysia malu, Anthony Loke ‘hilang’

BARU-BARU ini Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Amerika Syarikat dilapor telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia yang sebelum ini berada dalam tahap atau kategori pertama kepada kedua.

Tindakan menurunkan taraf ini boleh disimpulkan bahawa pihak antarabangsa mengandaikan bahawa ruang udara kita tidak lagi selamat.

Sehingga kini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, masih gagal untuk memberikan penjelasan terperinci mengapa ia berlaku.

Realitinya, penurunan penarafan keselamatan ruang udara ini akan memberi kesan besar kepada nama baik sesebuah negara tersebut.

Situasi ini sewajarnya bukan sahaja menimbulkan keresahan rakyat atau pihak-pihak berkepentingan malah kerajaan sendiri.

Related Articles

Justeru, bagi Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, selain Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu mengambil tanggungjawab, Kementerian Pengangkutan juga harus berkongsi beban dan rasa malu dengan apa yang berlaku.

Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan mampu bertindak dengan cepat untuk menangani keadaan dan memulihkan keyakinan dalam kalangan industri penerbangan dunia.

Menurut A. Kadir,  keputusan FAA itu merupakan tamparan berganda yang berlaku menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dan ketika usaha  kerajaan mengangkat bidang penerbangan sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negara.

Bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, penurunan penarafan keselamatan penerbangan Malaysia ke tangga kedua oleh FAA tersebut mempunyai impak yang amat serius dari pelbagai aspek kepada Malaysia.

Amat menyedihkan, ini adalah penurunan kali pertama dalam sejarah Malaysia dan sekali gus meletakkan negara kini setaraf dengan Bangladesh, Ghana serta Costa Rica.

“Penarafan FAA ini bukan sahaja menghalang perkembangan penerbangan Malaysia ke Amerika Syarikat, tetapi juga memberi kesan di seluruh dunia kerana ia diiktirafkan dan diguna pakai oleh hampir semua negara.

“Ia juga memberi kesan kepada syarikat penerbangan MAS yang  berkongsi kod dengan syarikat penerbangan lain seperti penyertaannya dalam gabungan OneWord Alliance.

“Di antara13 syarikat penerbangan dalam gabungan ini, hanya MAS satu-satu sahaja yang kini mempunyai penarafan kedua,” katanya.

Ini bermakna, jika MAS disingkir daripada gabungan itu, pendapatan MAS akan terjejas.

Tindakan dikenakan juga tentunya menyukarkan industri pelancongan negara selain meningkatkan kos insurans serta sewa beli syarikat penerbangan, industri pembinaan Aeroangkasa dan MRO Malaysia.

Jelas Najib, jika ada yang mendakwa penurunan taraf tersebut terkait dengan tragedi MH370 dan MH17 yang berlaku pada 2014, mereka salah.

“Kali terakhir audit dibuat oleh FAA sebelum ini ialah dalam tahun 2016 dan kita lulus masa itu.

“Faktanya ialah penurunan penarafan ini adalah akibat audit terbaharu yang dibuat ke atas CAAM pada bulan April tahun ini,” ujar beliau lagi.

Yang menghairankan kata Najib, Menteri Pengangkutan yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas CAAM masih membisu, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Sementara itu, CAAM dalam kenyataannya memberitahu,  keputusan FAA menurunkan taraf keselamatan udara Malaysia adalah disebabkan kelemahannya sebagai sebuah pengawal selia penerbangan, berdasarkan penilaian terbaharu.

Pengerusinya, Kapten Ahmad Ridzwan Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah membuat permintaan kepada FAA untuk melakukan penilaian semula dalam masa 12 bulan bagi tujuan menaik taraf kembali ke kategori pertama.

Apapun alasan, bukan mudah untuk membersihkan imej negara yang telah tercalar.

Dalam hal ini, pengalaman Thailand mungkin boleh dijadikan ikhtibar.

Walaupun negara Gajah Putih tersebut melalui tindakan penurunan penarafan pada 2015, namun, hingga kini mereka masih gagal melepasi syarat untuk naik semula ke kategori pertama.

Maka, sekali lagi kita bertanya ke mana menghilangnya Menteri Pengangkutan?



PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button