Rencana

Malaysia Madani: 100 hari penuh dendam

MEMANG tidak adil untuk menilai sesebuah kerajaan dalam 100 hari. Bagaimanapun tempoh 100 hari itu menjadi indikasi ke mana arah mahu dibawa negara ini.

Malaysia Madani bukan perkara baharu, kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak sekian lama memang sering menggunakan perkataan madani, terutama ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri, sebelum disingkirkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, selepas dikesan cuba menumbangkan regim berkenaan.

anwar
Anwar (dua dari kanan) hadir pada Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. – BERNAMA

Telah ditakdirkan akhirnya Anwar menjadi perdana menteri dan membuktikan bahawa beliau tiada beza dengan pemimpin politik yang lain penuh dendam dan amarah.

Jika Mahathir menggunakan undang-undang yang untuk memenjarakan musuh politiknya termasuklah Anwar konco-konconya menjadi mangsa, begitu juga Anwar apabila memerintah tidak jauh berbeza.

Itu belum dikira orang kuat beliau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi kuda trojan meruntuh UMNO dari dalam.

BACA Anwar Ibrahim nafi dirinya ahli politik murahan campur tangan kes mahkamah

Bak kata orang zaman ini, mereka telah lama merancang, kita sahaja lalai.

Ketika Mahathir melancarkan operasi pembersihan, Zahid orang paling awal membuat pusingan U dan kembali kepada UMNO.

Jadi beliau terselamat daripada tindakan keras rejim Mahathir, dan membina kembali karier politiknya di dalam UMNO sehingga menjadi Presiden UMNO. Dan kini beliau dan konco-konco beliau menguasai parti terbesar orang Melayu itu.

Namun tindakan semberono Zahid membuatkan orang Melayu sendiri kini muak dengan UMNO dan perkara itu ditunjukkan dengan jelas pada pilihan raya yang lalu dan sekali lagi akan dizahirkan pada pilihan raya enam buah negeri dijangka pada Jun nanti.

Bak kata orang lama: Buah buruk tidak perlu dijolok, nanti ia jatuh sendiri.

Anwar dan Zahid sedang rakus melumpuhkan musuh politik mereka dengan pelbagai cara, kerana mereka sedar pilihan raya negeri tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun mereka harus ingat lima tahun penggal pemerintahan adalah tidak lama. Nanti mereka bakal berhadapan dengan rakyat untuk mengemis undi dan kali ini mereka akan benar-benar menjadi pengemis jalanan, jika berterusan memerintah negara ini seperti koboi.

Semua janji dan sumpah dilanggar sesuka hati. Undang-undang dimanipulasi untuk kepentingan diri sendiri dan survival politik semata-mata.

Lantikan politik ke dalam GLC yang ditentang, kini menjadi halal demi menghargai para penjilat yang terang-terangan gagal di dalam politik dan hidup.

Kini mantan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula lantang mengkritik kerajaan madani. Dan tidak hairan jika beliau juga bakal menjadi sasaran selepas ini.

Inisiatif Menu Rahmah bukan dilaksanakan oleh kerajaan. Harga barangan tidak turun, tetapi rakyat yang berusaha menurunkan harga makanan yang dijual, hinggakan ada restoran yang tidak lagi mampu melaksanakannya.

Kesimpulannya kerajaan hari ini tidak melakukan apa-apa setakat ini, mereka hanya menggunakan air liur memberi harapan. Memang nama komponen utama pun Pakatan Harapan.

Rakyat hanya terus berharap kerajaan ini melakukan sesuatu. Sama juga isu pengeluaran wang KWSP. Akhirnya wang itu disuruh dicagarkan ke bank untuk membuat pinjaman.

Ibaratnya gali lubang tutup lubang, akhirnya rakyat yang terjerlus ke dalam lubang. – SM

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button