Malaysia dan RRC jalin kerjasama soal 5G, ekonomi digital dan keselamatan siber
Dalam usaha meningkatkan keperluan 5G, ekonomi digitaldan keselamatan siber, Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU itu ditandatangan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa danTimbalan Menteri Industri dan Informasi Teknologi, TYT Zhang Yunming.
Kata Annuar, susulan pemeteraian MoU mengenai kerjasama telekomunikasi digital tersebut, kedua-dua negara dijangka akan menerokai potensi kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Kerjasama tersebut bukan hanya melibatkan teknologi aplikasi 5G, menggalakkan kerjasama dalam e-dagang, inovasi syarikat pemula, pengkomputeran awan, data raya atau kecerdasan buatan.
“Malah ia merangkumi Internet pelbagai benda (Internet of Things), aplikasi Internet dan teknologi digital
lain serta kerjasama dalam polisi, piawaian, tindak balas kecemasan, teknologi sekuriti data, latihan serta kesedaran berkaitan keselamatan siber,” katanya.
MoU antara Malaysia – RRC itu dimeterai dalam Persidangan Plenipotentiary Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2022 (ITU PP22) yang bermula pada 26 September hingga 14 Oktober 2022 di Romania.
Kata Annuar, kerjasama tersebut dijangka memberi nilai tambah kepada Malaysia dengan mengambil kira
perkembangan pesat industri teknologi maklumat di RRC.
“Kedua-dua negara dapat menimba ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang 5G, keselamatan siber dan
ekonomi digital.
“Selain itu, kerjasama RRC untuk berkongsi amalan terbaik, pengalaman dan kepakaran melalui inisiatif bersama dapat membantu meningkatkan kepantasan dan kesiapsiagaan ekosistem keselamatan siber dan pendigitalan negara terutamanya dalam menghadapi era Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.
Dalam masa sama, komitmen pertukaran ilmu pengetahuan dan amalan terbaik antara kedua-dua negara bukan sahaja mampu mempertingkatkan daya saing dan merancakkan pertumbuhan ekonomi digital negara malah ia berupaya bertindak sebagai faktor penarik kepada pelaburan pembinaan modal insan dan penyelidikan.
“Hubungan kerjasama ini akan membantu Malaysia untuk memperkasakan ekosistem ekonomi digital yang lebih
berkualiti.
“Pada masa yang sama, ia secara tidak langsung akan merangsang pertumbuhan ekonomi digital tempatan dan menyumbang kepada ekonomi negara pada masa hadapan sejajar dengan agenda untuk menjadikan Malaysia hab industri berteknologi tinggi,” katanya.