Malaysia mempunyai kepakaran dalam pembuatan sebuah bot ‘Hydroglyder’ berkuasa elektrik yang pertama di negara ini diusahakan syarikat tempatan berpengkalan di Batu Berendam di sini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, walaupun Hydroglyder dibina khusus untuk industri maritim Singapura, namun ia mewakili peluang besar bagi industri maritim tempatan untuk diterokai dalam penyelesaian teknologi hijau.
Menurutnya, protaip bot berkenaan direkabentuk untuk mengangkut krew-krew pelabuhan di Singapura tetapi untuk masa depan ia mampu dibina untuk pasaran tempatan di negara ini.
Beliau berkata, bot tersebut juga boleh digunakan untuk mengangkut penumpang khususnya di beberapa pulau peranginan seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman,
Pulau Perhentian dan sebagainya pada masa depan.
“Sebenarnya, Malaysia sudah ada kepakaran daripada syarikat tempatan terutama dari segi rekabentuk dan kejuruteraan membina bot elektrik kerana ini satu inovasi yang cukup baik merendahkan penggunaan karbon.
“Saya berbangga kerana Malaysia dipilih untuk pemasangan dan pembinaan prototaip Hydroglyder menunjukkan keupayaan negara untuk menyampaikan projek kejuruteraan
bertaraf dunia dan berteknologi maju.
“Ini sejajar dengan Dasar Pengangkutan Negara yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dengan membangunkan tenaga kerja mahir, memupuk
persekitaran perniagaan yang kondusif dan memudahkan perdagangan dan pelaburan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bot ‘Hydroglyder’ yang menggunakan teknologi elektrik di Batu Berendam di sini hari
ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Mengulas lanjut Anthony berkata, usaha inovasi syarikat tempatan, Yinson GreenTech dan CTruk Boats Shipyard, bertujuan untuk membangunkan teknologi termaju dan mampan untuk masa depan bersih-sifar (zero net).
Menurutnya, menjelang 2050 peraturan antarabangsa telah menetapkan kenderaan tidak lagi boleh melepaskan karbon dan menggunakan bahan bakar yang lebih mampan.
“Saya menggalakkan lebih banyak dialog dan perkongsian dalam sektor maritim kerana saya membayangkan sistem pengangkutan bersepadu, cekap, selamat dan mampan
di Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan menyedari sepenuhnya perubahan landskap kawal selia apabila Singapura mengumumkan bahawa mulai 2030 semua kraf pelabuhan baharu perlu
menggunakan elektrik sepenuhnya, biodiesel atau serasi dengan bahan api neutral karbon seperti hidrogen. – SM