BeritaPolitik

Maksum sangatkah pucuk pimpinan UMNO sampai tak boleh dikritik?

Oleh TUKANG TULIS

SATU perkara yang konsisten tentang UMNO, sama ada ketika menjadi parti kerajaan atau pembangkang, adalah kewujudan golongan ultra yang bermati-matian mempertahankan pucuk pimpinan parti.

Memang bukan satu kesalahan kalau mempertahankan parti daripada serangan musuh terutamanya tentera-tentera siber Pakatan Harapan (PH).

Cuma golongan ultra dalam UMNO ini bersikap agak keterlaluan apabila pemimpin-pemimpin kesayangan mereka dikritik oleh ahli-ahli parti sendiri.

Bila berlaku keadaan sedemikian, meloncatlah mereka melabelkan sang pengkritik sebagai ‘macai DAP’, ‘RBB’, ‘Melayu DAP’ dan sebagainya.

Ditambah lagi dengan hamburan kata-kata kesat berunsur lucah yang seolah-olah diluahkan oleh mereka yang lazimnya bermentaliti rendah dan kurang ambil peduli dengan adab sopan yang ditekankan dalam Islam.

Tuduhan-tuduhan mengarut itu dilontarkan secara membuta-tuli tanpa mengkaji latar belakang pengkritik yang mungkin satu kem dengan mereka.

Apakah mereka masih tidak serik dengan kesilapan lalu khususnya dalam isu 1MDB yang menjadi punca UMNO kehilangan kuasa memerintah negara?

Pada masa itu, mereka yang lantang bersuara seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ditekan dengan hebat.

Macam-macam cerita tidak elok ditularkan termasuk yang boleh menjatuhkan air muka bagi mencemarkan reputasi dan kredibiliti mereka.

Kegagalan UMNO berlapang dada menerima kritikan terbuka terhadap pucuk pimpinan dahulu menjadi punca yang menyebabkan berlaku perpecahan yang serius dalam parti.

Bila tiada ruang, golongan yang berniat ikhlas dan jujur menegur pucuk pimpinan mencari ruang lain dengan menubuhkan parti Bersatu dan Warisan.

Tidak mustahil senario yang sama akan berulang sekiranya golongan ultra dalam UMNO berterusan menggunakan taktik murahan untuk menutup mulut mereka yang berbeza pandangan dalam parti sendiri.

Seharusnya perbezaan pendapat dalam UMNO diraikan menerusi erti kata sebenar agar pucuk pimpinan boleh mengkaji kesilapan dan melakukan penambahbaikan sebelum terlambat.

Begitu juga dengan golongan ultra UMNO, mereka sewajarnya mengambil tindakan ‘bertempur’ secara bijak dan tidak terlalu taksub dengan doktrin ‘pucuk pimpinan parti tak pernah buat silap’.

Ingatlah, sehebat mana seseorang pemimpin pada pandangan mata kasar, dia tetap seorang manusia biasa yang tidak terlepas daripada salah dan silap.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button