MAIPs -UniMAP kaji projek solar di masjid
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam melaksanakan Kajian Keberkesanan Projek Solar @ Green Mosque di masjid-masjid Perlis pada Januari 2024. Kajian berkenaan memberikan garis panduan kepada pengurusan masjid untuk melaksanakan Program Wakaf Solar selari inisiatif Tabung Wakaf MAIPs-Masjid (TaWaF) bergantung kepada kapasiti penggunaan serta kemampuan kewangan masjid terbabit.
Pada masa yang sama UniMAP melalui Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestarinya telah melaksanakan Program TVET UniTY – Program Transformasi Masjid Kepada Rumah Ibadat Hijau di Perlis pada tahun ini.
Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti masjid tentang amalan kecekapan tenaga, air dan pengurusan sisa yang boleh dipraktikkan. Terdapat juga program pemindahan teknologi kepada masjid terpilih bagi meningkatkan lagi kecekapan penggunaan tenaga elektrik, air serta pengurusan sisa.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Azhar Kampung Tebok, Simpang Ampat baru-baru ini.
Program ini merupakan usaha dan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha mendekati dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan sumbangan daripada MAIPs itu kepada 70 orang penerima yang merupakan anak kariah daripada Kampung Tebok dan 70 orang lagi penerima dari kariah Kampung Che Ok.
Para asnaf yang terpilih pada sesi ini masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, pemeriksaan kesihatan secara percuma, ceramah menjauhi najis dadah daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan juga ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs.
MAIPs menyumbangkan RM98,000 agihan zakat dalam program tersebut.
GALERI FOTO