Luar Negara

MAIPs tingkat kerjasama dengan MUIS

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga; dan Menteri Kedua Kesihatan Singapura, Masagos Zulkifli bin Masagos Mohamad di Singapura baru-baru ini.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Masagos Zulkifli yang merupakan Menteri yang bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Muslim Singapura membincangkan fokus bagi
mempereratkan jalinan kerjasama sedia ada antara MAIPs dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di Singapura.

Demikian menurut kenyataan MAIPs.

Titah Tuanku Pemangku Raja, MAIPs dan MUIS bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam menggunakan kekuatan bersama dalam meningkatkan kecekapan pengurusan hal ehwal Islam masing-masing.

Pelbagai kelebihan dan kekuatan yang dimiliki oleh kedua belah pihak adalah diharapkan dapat memberikan impak berganda dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sekaligus dapat meninggikan lagi syiar Islam di kedua belah pihak.

Turut menyertai perbincangan tertutup tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor bersama rakan sejawat beliau, Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen.

Pertemuan yang berlangsung hampir 2 jam itu telah membincangkan pelbagai perkara berkaitan hak ehwal umat Islam kontemporari, selain beberapa cadangan kerjasama bagi berkongsi kemakmuran bersama antara kedua belah pihak yang bertanggungjawab dalam memberikan panduan dan bimbingan kepada masyarakat Muslim dalam kehidupan mereka.

Masagos Zulkifli dalam sesi berkenaan menekankan mengenai kepentingan agar pihak ilmuan Islam sentiasa memahami konteks semasa dan latar belakang masyarakat setempat, agar sesuatu pengajaran agama yang disampaikan kekal relevan untuk dilaksanakan.

Dalam pada itu, Mohd Nazim ketika mengulas berkata, pihaknya komited untuk menerokai aspek-aspek kerjasama yang berpotensi untuk dikembangkan terutama dalam aspek pengukuhan organisasi dan strategi dalam memperteguh fungsi dan peranan yang telah diamanahkan.

“Sudah semestinya sebagai sebuah organisasi yang berwibawa, MAIPs dan MUIS mempunyai banyak persamaan dari sudut fungsi dan peranan dan boleh mempelajari banyak hal terutama dalam aspek perbezaan suasana dan konteks latar belakang masyarakat yang diberikan perkhidmatan,” jelas beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button