Nasional

MAIPs terus beriltizam lestarikan misi global

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus beriltizam untuk melestarikan misi globalnya dengan melaksanakan segala bentuk kerjasama bagi meneruskan agenda pemerkasaan Ummah di rantau ini.

Walaupun berhadapan suasana pandemik dan ketidaktentuan ekonomi dunia, namun keperluan untuk meneruskan usaha pembangunan Ummah di wilayah ini perlu terus digerakkan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan ‘Prihatin Global’ dengan kerjasama sumbangan khidmat sosial koporat oleh DZ Bikers Malaysia melalui MAIPs untuk sebanyak 150 buah keluarga Muslim di Pulau Panjang (Kok Yaw) Thailand.

Terdapat 1300 penduduk di pulau berpenghuni paling dekat dengan Malaysia dan Perlis tersebut dan difahamkan ketika ini terdapat 140 kes positif Covid-19 dan 17 pesakit kini terpaksa dimasukkan ke hospital di Satun.

Hadir menyerahkan sumbangan berisi makanan mentah seperti beras, tepung, gula, garam dan bihun mewakili baginda di Jeti Kastam Kuala Perlis untuk dihantar melalui bot ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Program Ziarah Mahabbah MAIPs, Datuk Zull Aznam Haron.

Penyerahan sumbangan ini turut mendapat kerjasama daripada pihak Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri.

Pada masa yang sama Tuanku Raja Muda juga berharap semoga MAIPs akan terus ke hadapan, bersemangat serta memperkasakan lagi jaringan kerjasama strategiknya dengan agensi-agensi di dalam dan di luar negara bagi memperkukuhkan lagi kedudukannya dan menjayakan segala bentuk program dan perancangan demi kebaikan Ummah di negeri dan di rantau ini khususnya dengan negara tetangga Thailand.

Untuk rekod, program tahunan ‘Ziarah Mahabbah MAIPs ke enam buah Wilayah Andaman’ yang memasuki tahun ke-7 pada tahun ini tidak dapat dilaksanakan buat julung kalinya berikutan penularan wabak Covid-19. Namun, beberapa siri mesyuarat dan seminar telah dan bakal dilaksanakan secara dalam talian sehingga sempadan kedua-dua negara kembali dibuka untuk interaksi secara fizikal.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button