Berita

Suburkan amalan berbudi bahasa dari kecil – RMPs

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar amalan budi bahasa dan pekerti Melayu perlu terus disuburkan sejak peringkat anak-anak lagi bermula daripada peringkat keluarga, sekolah dan masyarakat. Sebab itulah, para pelajar dari bangku sekolah lagi perlu dididik dengan nilai seumpama ini agar mereka menjadi individu yang sentiasa peka terhadap norma masyarakat di sekeliling mereka.

Hal ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya amalan budi bahasa sehinggalah wujudnya mata pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dalam modul pembelajaran Malaysia. Oleh yang demikian, ”bulan semakin terang, bayang semakin jelas” bahawa konsep budi bahasa itu merupakan intipati yang amat diperlukan dalam usaha mewujudkan bangsa Malaysia yang bertamadun.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyaksikan penyerahan bahan makanan mentah secara simbolik daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hasil sumbangan oleh DZ Bikers Malaysia kepada Perlis Volunteer Action Community (PVAC) yang diadakan di Perkarangan Bangunan Pejabat MAIPs 2 Kangar pada petang semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mohammad Hazam Ismail dan Pengerusi PVAC, Effendey Harun.

Terdahulu daripada itu Mohd Nazim mewakili MAIPs menerima barangan sumbangan DZ Bikers Malaysia yang mendapat kerjasama daripada Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Laksamana Kelantan Dato’ Seri DiRaja Sharifah Azwan Binti Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berupa makanan keperluan asas untuk seramai 1000 orang bagi program tersebut yang tiba dari ibunegara dihantar oleh Datuk Hj Zailan Mohamed dan diserahkan oleh wakilnya di Perlis iaitu Presiden Kelab Utara Bikers, Mohd Khalid Ahmad.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ‘Sifat-sifat luhur dan amalan berbudi yang sepatutnya menjadi kebanggaan masyarakat timur ini wajarlah dilestarikan, dipulihkan dan dihidupkan semula. Negara kita pasti akan mudah ’dikalahkan’ walaupun kita memiliki infrastruktur yang berkelas pertama sekalipun, tetapi jika mentalitinya kita masih berada di kelas ketiga’.

Baginda turut menyimpulkan bahawa pembangunan nilai dan budaya yang betul seperti yang dianjurkan di dalam adat Melayu ini amat mustahak untuk negara mencapai cita-citanya sehingga mencapai taraf negara maju yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button