Ekonomi

MAIPs tawar bantu pengurusan halal Namibia

KANGAR 10 Ogos – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersedia menawarkan kepakaran dan pengalaman dalam memperkemaskan pengurusan halal di negara Namibia.

Agenda mempertingkatkan pengurusan halal yang tersusun dan bersistematik akan menambah keyakinan pelanggan untuk membeli dan menggunakan produk yang dikeluarkan.

Demikian menurut sebaran media dikeluarkan MAIPs lanjutan lawatan yang diadakan ke Pusat Abatoir Meatco di Windhoek, Namibia baru-baru ini.

Berangkat mengetuai lawatan sempena Safar Ilmi MAIPs berkenaan adalah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi sama oleh anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.

Menyambut keberangkatan Baginda ialah Pengurus Sementara Operasi, Marcella Somaes dan Penyelia Halal, Uthman Klausv Van Niel.

Turut serta dalam delegasi Baginda ialah Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya barsama-sama Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Meatco adalah syarikat berkaitan Kerajaan Namibia yang telah ditubuhkan sejak 1994, mematuhi International Organization for Standardization (ISO) 9002, Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) 1033:2007 dan South African Bureau of Standards (SABS).

“Beberapa elemen berkaitan pengurusan halal telah diperbincangkan seperti kriteria Halal, penggunaan kaedah penyembelihan serta cadangan pewujudan penyeragaman organisasi halal yang berautoriti sedang diterokai.”

“Adalah penting dalam memastikan sesuatu produk daging yang dikeluarkan mematuhi aspek syariah berkaitan halal dan juga memenuhi aspek kualiti berkaitan toyyiban”.

Perkara yang sama dikongsikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra kepada Naib Presiden Republik Namibia, Netumbo Nandi-Ndaithwah dan Menteri Hal Ehwal Presiden Namibia, Christine Hoebes di pejabat Nandi-Ndaithwah bagi membincangkan kerjasama dua hala antara Perlis dan Namibia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button