MAIPs sumbang bas kepada KUIPs
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebuah bas kepada Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Bas tersebut akan beroperasi sebagai bas rasmi kolej universiti yang bernaung penuh di bawah MAIPs tersebut.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Rektor, Prof. Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman di perkarangan Kediaman Siswi KUIPs di Seberang Ramai Kuala Perlis.
Hadir sama ialah Pengerusi KUIPs Sdn Bhd, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Terdahulu daripada itu, dalam ucapan baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan bahawa ‘Revolusi Perindustrian Ke-4’ memerlukan Malaysia menyediakan bakat insan terpuji bagi menghadapi cabaran teknologi baharu yang kompleks. Setiap mahasiswa mesti lebih sedar dan merebut segala peluang ketika di IPT untuk mempersiapkan diri masing-masing dengan semaksima mungkin.
Menurut baginda, ‘Bagi menghadapi persekitaran yang semakin kompleks juga, mahasiswa abad ke-21 mesti memperkukuhkan diri dengan lima perkara yang sepadan dengan ciri yang digariskan sebagai kemahiran unggul oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) iaitu Mahir menyelesaikan masalah yang kompleks,
Mahir sebagai pemimpin dan ahli pasukan yang berkesan, Mahir berkomunikasi secara lisan dan bertulis, Memiliki kepintaran emosi, serta Memiliki nilai integriti dan moral terpuji.