MAIPs sentiasa cakna dalam menguruskan, menyalurkan kutipan zakat
1 November 2024.
Kuala Perlis.
Menjadi sebuah organisasi tunggal di Perlis yang diberikan kepercayaan dalam menguruskan hal ehwal berkaitan zakat, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa cakna dan komited untuk berusaha sedaya upaya dalam membantu insan yang benar-benar memerlukan terutamanya golongan asnaf di negeri ini.
Bertitik tolak daripada itulah, MAIPs telah menubuhkan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) yang menyediakan pelbagai Latihan dan Kemahiran, Pendidikan dan Keusahawanan serta penempatan pekerjaan kepada golongan sasar daripada kumpulan ini.
Misi utamanya adalah untuk membangunkan modal insan dan taraf ekonomi asnaf sehingga mampu berdikari bahkan menjadi penyumbang kepada kekuatan ekonomi Ummah itu sendiri kelak.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis bersama Bursa Malaysia di sekitar Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift
dan Naib Presiden Eksekutif Bursa Suq Al-Sila di Bursa Malaysia, Hj Shamsul Akmal Ahmad serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri Perlis bagi menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik di sekitar kampung yang terlibat dalam Projek Transformasi
DiRaja Perlis tersebut.
Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs menyerahkan sendiri sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada sesi kali ini kepada Mohd Saad Hassan, 75 tahun, Zaharah Mat, 95 tahun dan Khatijah Mahamud, 67 tahun.
Mereka masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM 700, bantuan Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah kesemuanya dari MAIPs serta sumbangan wang tunai tambahan daripada Bursa Malaysia bagi membantu menampung keperluan harian.
Turut serta dalam program tersebut ialah Panel Penilai Penarafan ASEAN Tourism oleh MOTAC serta Kelab Brompton Ipoh.